Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan: 800 hilang kerja bila JASA tutup
Diterbitkan:  Sep 20, 2018 9:13 AM
Dikemaskini: 1:25 AM

Kerajaan akan menutup Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang kontroversi pada bulan hadapan yang akan mengakibatkan 800 kakitangan kontrak kehilangan pekerjaan, kata sebuah laporan.

The Malaysian Insight (TMI) memetik Panel Pemikir JASA, Tun Faisal Ismail Aziz yang berkata jabatan berkenaan akan dibubarkan pada 15 Oktober 2018 ini.

Sebagai akibatnya, kata beliau kira-kira 800 kakitangan kontrak akan dibuang kerja, manakala 300 penjawat awam akan diletakkan kembali di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam untuk akhirnya di tukar ke jabatan kerajaan lain.

Faisal dilaporkan berkata 800 pekerja kontrak itu bukan lantikan politik dan tidak patut dimangsakan.

"Jika kerajaan baru mahu menukar (kakitangan) lantikan politik, hal itu difahami dan tiada masalah.

"Tetapi bukan semua kakitangan JASA adalah lantikan politik," katanya, petik TMI.

Beliau dilaporkan berkata kebanyakan kakitangan kontrak hanya mendapat gaji antara RM2,000 dan RM4,000 bergantung kepada pangkat mereka dan pemberhentian itu merupakan suatu yang sukar.

'Unit propaganda serang pembangkang'

Selain itu, Faisal menyifatkan pembubaran JASA tidak bijak berkata jabatan itu memainkan peranan penting untuk mengumpulkan maklum balas dari lapangan masyarakat dan menjelaskan dasar kerajaan kepada rakyat.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pembubaran lima badan kerajaan yang berbeza termasuk JASA pada 23 Mei, selepas mesyuarat kabinetnya yang pertama berikutan kemenangan HARAPAN pada pilihan raya umum ke-14.

JASA, sebuah unit di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, sebelum ini dituduh sebagai unit propaganda yang digunakan untuk menyerang pemimpin pembangkang.

Menteri Undang-undang, Datuk Liew Vui Keong memberitahu parlimen bahawa kerajaan akan menamatkan kontrak lebih satu pertiga daripada 17,942 kakitangan kerajaan yang diambil bekerja berdasarkan kontrak.

Seramai 3,242 daripada kakitangan kontrak ini akan diberhentikan kerana projek atau tugas mereka telah selesai atau ditamatkan, manakala 2,934 pekerja lagi akan ditamatkan perkhidmatan apabila kontrak mereka berakhir.

Sementara itu, terdapat 11,394 kakitangan yang akan dikekalkan, 85 akan ditukar ke jabatan lain dan 277 lagi sedang dipertimbangkan.

Lihat Komen
ADS