mk-logo
Berita
TPM tak patut kata kanak-kanak setuju kahwin, bidas Latheefa
Diterbitkan:  Sep 20, 2018 12:19 PM
Dikemaskini: 4:34 AM

Kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL) menyelar kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai kes perkahwinan kanak-kanak terbaru, menyifatkannya sebagai "tidak bertanggung jawab dan tidak boleh diterima."

Pengarah eksekutif LFL, Latheefa Koya menegaskan seorang kanak-kanak tidak dapat memberi persetujuan untuk berkahwin.

Beliau berkata kegagalan kerajaan untuk bertindak terhadap perkahwinan kanak-kanak akan menjadikan Malaysia syurga pedofilia yang menggunakan perkahwinan sebagai lesen untuk melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak.

Semalam, merujuk kepada kes terbaru perkahwinan kanak-kanak di Kelantan, Wan Azizah memberitahu pemberita Jabatan Kebajikan Masyarat telah menemui gadis berusia 15 tahun itu dan suaminya, lelaki berusia 44 tahun dan berkata mereka bersetuju dengan perkahwinan tersebut.

"Tidak ada kanak-kanak yang dapat memberi persetujuan untuk berkahwin. Ini prinsip asasnya," bantah Latheefa.

"Undang-undang memperuntukkan hubungan seks dengan gadis di bawah umur 16 tahun walaupun dilakukan secara rela adalah jenayah rogol," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selangor naik had umur kahwin

Beliau menggesa kementerian wanita mengambil tindakan segera melindungi dan memberi nasihat kepada kanak-kanak tersebut, manakala pihak polis pula perlu menyiasat suami kanak-kanak itu di bawah kes persediaan seksual (grooming).

Secara berasingan, Anggota Parlimen Ayer Hitam Wee Ka Siong mengingatkan Wan Azizah bahawa beliau mempunyai tugas untuk melindungi kumpulan yang lemah.

"Saya ingin mengingatkan Timbalan Perdana Menteri (Dr Wan Azizah) bahawa sebagai pembuat dasar, beliau mempunyai tugas positif untuk memastikan undang-undang dan dasar disediakan untuk melindungi golongan yang lemah, termasuk kanak-kanak.

"Beliau tidak seharusnya mengenepikan amanahnya terhadap jawatan dan masyarakat dalam isu ini dengan bergantung pada dakwaan kenyataan 'persetujuan' itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini menerusi akaun Facebooknya.

Timbalan presiden MCA itu juga berharap negeri-negeri lain di Malaysia menuruti jejak titah perintah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya had umur perkawinan di antara perempuan dan lelaki Melayu dinaikkan ke 18 tahun dari 16 tahun sebelum ini.

[Baca berita penuh]
 

Lihat Komen
ADS