Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Lebih ramai gagal bayar PTPTN sebab tak mampu, bukan tak amanah'
Diterbitkan:  Sep 21, 2018 12:50 PM
Dikemaskini: 4:56 AM

Tidak adil untuk menggelarkan semua peminjam yang tidak membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mereka sebagai tidak malu dan tidak amanah, kata Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad.

Anggota parlimen Setiawangsa itu berkata ini kerana lebih ramai peminjam kategori itu yang berdepan masalah, bukan sengaja tidak membayarnya.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan ada peminjam yang merasakan tidak perlu untuk membayar hutang itu selepas memperoleh pendapatan sendiri.

"Saya malu, tetapi mereka tidak," kata Mahathir semalam.

Mengakui memang ada peminjam seperti yang dinyatakan Mahathir, Nik NAzmi berkata lebih ramai yang gagal berbuat demikian kerana belum mendapat pekerjaan atau bergaji rendah.

"Saya menghormati Dr Mahathir dan memahami beban ekonomi negara.

"(Tetapi) Kita harus akui ada golongan miskin bandar dan miskin tegar, selalunya kelompok ini sukar untuk membayar kerana menanggung banyak beban seperti mula menyara keluarga selepas tamat belajar.

"Dalam budaya kita, jika seorang itu belajar di universiti, harapan besar keluarga untuk mereka membantu keluarga yang lebih besar," katanya dalam kenyataan.

Menurut laporan, hutang PTPTN yang tidak berbayar berjumlah kira-kira RM36 bilion.

Dalam manifesto PRU lalu, Pakatan Harapan (HARAPAN) berjanji untuk menangguhkan pembayaran semula PTPTN kepada semua graduan yang bergaji kurang RM4,000, selain membuang nama mereka yang tidak membayar dalam senarai hitam imigresen.

Nik Nazmi juga mendakwa sistem pendidikan negara menumpukan kepada pembinaan institut pengajian tinggi swasta (IPTS), pada masa sama institut pengajian tinggi awam (IPTA) tidak berkembang dan dipotong peruntukan.

"Biasiswa juga semakin berkurangan. Maka semakin ramai lepasan sekolah yang tiada pilihan selain ke IPTS.

"Maka dalam Buku Harapan kita fokus untuk mencipta kerja dengan gaji lebih tinggi, meningkatkan gaji minima dalam tempoh lima tahun dan penangguhan bayaran PTPTN sehigga gaji RM4,000. Model sama digunakan di luar negara seperti Australia dan Britain.

"Kita baru memerintah beberapa bulan dengan misi untuk memperbaiki ekonomi. Sehingga kita menyediakan lebih banyak pekerjaan, gaji permulaan yang baik dan memahami masalah sebenar peminjam, tidak wajar kita label mereka sebagai tidak amanah," katanya lagi.
 

Lihat Komen
ADS