Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Tidak adil menghukum pengguna kenderaan yang masih belum menukar beg udara kenderaan dengan menyenarai hitam mereka, kata Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia (Standard Users).

Berdasarkan makluman pengguna, Standard Users berkata, kegagalan menukar beg udara disebabkan kekurangan stok daripada pihak berwajib.

“Standard Users juga telah dimaklumkan pengguna ada menerima surat notis untuk menukar beg udara secara percuma tetapi pengguna terpaksa menunggu masa yang lama sehingga memakan masa berbulan-bulan untuk menukar beg udara tersebut kerana kekurangan stok beg udara.

“Adakah adil untuk menghukum pengguna jika tersebut berpunca daripada orang lain?’’ soal Pengurus Teknikal Standard Users Nur Asyikin Aminuddin.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke siew Fook kelmarin berkata pemilik kenderaan Honda, Subaru dan Mazda berdepan tindakan senarai hitam sekiranya masih gagal membuat penukaran beg udara.

Bagi pengeluar kenderaan lain termasuk BMW, Mitsubishi, Nissan dan Toyota yang masih gagal mendapatkan stok beg udara yang mencukupi, Loke berkata pihaknya memberi tempoh sehingga dua bulan untuk berbuat demikian.

Januari lalu, Eda­ran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) mengesahkan sebanyak 98,216 buah kenderaan Nissan terlibat dalam masalah inflator beg udara Takata, termasuk Grand Livina (83,263 buah), X-Gear (83,263 buah) dan Navara (14,953 buah).

Sementara itu, Nurul Asyikin turut menjelaskan pihaknya mengikuti perkembangan isu beg udara Takata itu sejak tahun 2014 lagi dan masalah kekurangan stok berlaku sejak 2016 sehingga sekarang.

Beliau menyarankan Kementerian Pengangkutan menyelesaikan masalah itu terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan selanjutnya terhadap pengguna.

Standard Users merupakan NGO yang berperanan menyokong standard pasaran yang lebih relevan, mempromosikan produk dan perkhidmatan yang lebih selamat dan baik.

Lihat Komen
ADS