Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kahwin kanak-kanak: TPM digesa runding kumpulan wanita - Marina

Aktivis sosial, Marina Mahathir menggesa Menteri Pembangunan Wanita, keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail supaya berunding dengan kumpulan hak wanita bagi menunjukkan iltizam kerajaan untuk menghapuskan perkahwinan kanak-kanak.

Ini susulan Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri mendapat kritikan berkaitan kenyataan media berhubung kes perkahwinan kanak-kanak di Kelantan.

Mengulas hal itu, Marina berkata kumpulan hak wanita boleh membantu dengan menyediakan beliau hujah yang mewajarkan untuk menamatkan amalan berkenaan.

"Saya fikir beliau perlu lebih jelas (dalam pendirian mengenai perkahwinan kanak-kanak).

"Saya fikir jika beliau dapat berunding dengan kumpulan hak wanita, kami ada semua hujah membantah perkahwinan kanak-kanak, sama ada daripada sudut perundangan, hak asasi atau pun pandangan agama.

Segera haram amalan kahwin kanak-kanak

"Jika beliau melakukan perundingan dengan kami, kami boleh memberikan beliau kesemua (sebab-sebab) yang mewajarkan untuk (kerajaan) segera mengharamkan amalan ini," kata Marina selepas pelancaran buku di Universiti Malaya hari ini.

Susulan laporan yang mendedahkan seorang gadis berusia 15 tahun menikahi lelaki berusia 44 tahun yang sudah beranak dua di Kelantan, Wan Azizah berkata gadis itu bersetuju dengan perkahwinan tersebut.

Beliau juga menjelaskan bidang kuasa kementeriannya terbatas kerana undang-undang syariah negeri berkuasa terhadap hal ehwal perkahwinan orang Islam.

Selanjutnya, Wan Azizah dikritik sebagai memberi lampu hijau kepada pedofilia untuk "persediaan seksual" dengan kanak-kanak secara sah melalui perkahwinan.

Semalam, Wan Azizah menjelaskan beliau hanya menyebut dapatan daripada laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat mengenai kes tersebut dan beliau bertegas berjanji akan menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun.

Beliau turut dikritik sebagai tidak cukup tegas dalam pendiriannya menentang perkahwinan kanak-kanak ketika heboh laporan kes terdahulu, juga di Kelantan pada Jun lalu.

Lihat Komen
ADS