Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sekat pengeluaran lesen jual alkohol murah atau samsu - CAP
Diterbitkan:  Sep 21, 2018 5:25 PM
Dikemaskini: 9:28 AM

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan menyekat sebarang pengeluaran lesen berkaitan penjualan minuman beralkohol lebih-lebih lagi alkohol murah atau samsu bagi mengelakkan kematian disebabkan keracunan arak.

Presidennya S.M Mohamed Idris berkata pihaknya memandang serius laporan kematian disebabkan keracunan arak di negara ini.

“Apa yang merisaukan ialah arak itu dikatakan dijual di pasaran sejak sekian lama dengan harga yang murah iaitu sekitar RM3 hingga RM5 untuk 150ml sebotol dan ia mudah didapati oleh mana-mana pihak tanpa sebarang sekatan.

“Kami di CAP telah mengutarakan isu ini sejak 1993 lagi, namun tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berwajib,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Sehingga semalam 23 kematian akibat keracunan arak dilapor berlaku dengan 21 mangsa di Lembah Klang dan dua Perak.

S.M Mohamed berkata ketagihan alkohol mahupun samsu bukan sahaja boleh membahayakan nyawa malah boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan secara keseluruhannya.

“Kami menyeru pihak berwajib seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Kesihatan, Jabatan Kastam malah Kementerian Kewangan untuk segera menangani isu ini hingga ke akar umbi bagi melindungi masyarakat kita dari penyakit sosial dan mendatangkan risiko kepada kesihatan,” katanya.

Beliau turut menyarankan pihak berkuasa untuk menyemak semula harga minuman itu berdasarkan kandungan alkohol yang dijual.

- Bernama

Lihat Komen
ADS