Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KJ gesa Art Harun tolak dulu pelantikan jawatan SPR
Diterbitkan:  Sep 21, 2018 8:46 PM
Dikemaskini: 12:53 PM

Khairy Jamaluddin Abu Bakar menggesa Azhar Azizan @ Harun jangan menerima - buat sementara - pelantikannya mengetuai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seperti diumum kerajaan hari ini.

Tanpa menafikan kelayakan peguam berpengalaman itu, Khairy menjelaskan pelantikan Azhar bercanggah dengan janji yang dibuat Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam manifesto mereka.

Bekas menteri belia dan sukan itu turut mengepilkan salinan manifesto HARAPAN menjelang PRU ke-14 lalu dalam siri ciapannya di Twitter hari ini.

"Anda tidak boleh memulakan proses reformasi institusi dengan pelantikan yang dibuat secara mengetepikan sepenuhnya reformasi yang anda sudah janjikan," katanya.

Pagi tadi Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Ismail Bakar mengumumkan pelantikan Azhar - atau lebih dikenali sebagai Art Harun di media sosial - mengetuai badan pengendali pilihan raya di negara ini.

Kata Ismail, pelantikan Azhar, 56, dibuat mengikut Fasal (1) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan dan sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Pengerusi SPR sebelum ini kosong berikutan pengunduran penyandangnya Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah yang bersara awal pada 1 Julai lalu.

Parlimen nak bersidang

SPR menjadi antara badan yang paling banyak dipertikaikan oleh pembangkang dan orang ramai sebelum ini, antara lain kerana keputusan mereka mengadakan PRU ke-14 pada 9 Mei yang asalnya hari bekerja.

SPR juga banyak dikecam kerana dianggap sentiasa mengambil tindakan yang menguntungkan kerajaan.

Justeru HARAPAN berjanji melaksanakan reformasi ke atas badan yang sepatutnya bebas itu.

Azhar anak kelahiran Kedah menamatkan pengajian sarjana muda undang-undang di Universiti Malaya dan sarjana di King's College, University of London.

Beliau memulakan kerjaya guaman pada 1987 dan berkhidmat di beberapa firma ternama dengan memiliki kepakaran dalam bidang pilihan raya.

Menurut Khairy beliau mengalu-alukan pelantikan Azhar sebagai pengerusi baru SPR dan yakin ia bakal mengukuhkan lagi sistem pilihan raya serta menjamin pelaksanaan yang bebas serta adil buat semua parti politik di Malaysia.

"Namun demikian, saya tidak setuju dengan cara pelantikan pengerusi baru SPR.

"Dalam Manifesto HARAPAN jelas ditulis: Pelantikan ahli-ahli SPR mestilah melalui proses perakuan oleh parlimen.”

"Pelantikan (hari) ini tidak pernah dirujuk kepada parlimen untuk perakuan," ciapnya.

Anggota parlimen Rembau itu menambah Dewan Rakyat akan mula bersidang semula pada 15 Okt ini.

Justeru katanya mengapa kerajaan tidak boleh menangguhkan pelantikan berkenaan sehingga ia mendapat perakuan di parlimen.

"Tanpa pengerusi baru pun SPR dapat mengendalikan pilihan raya kecil di Port Dickson. Jadi jangan guna itu sebagai alasan," katanya.

Oleh itu kata Khairy Azhar wajar menangguhkan penerimaan jawatan yang diberikan kepadanya.

"Saya harap atas komitmen beliau kepada reformasi institusi, Art Harun dapat menolak sementara pelantikan ini sehingga mendapat perakuan dari parlimen," katanya.

Lihat Komen
ADS