Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan ada cara kesan syarikat elak bayar SST
Diterbitkan:  Sep 22, 2018 4:18 PM
Dikemaskini: 8:22 AM

Sesebuah syarikat yang layak tidak akan dapat mengelak daripada membayar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kerana kerajaan mempunyai sistem pangkalan data yang besar untuk mendapatkan maklumat mereka.

Menteri Kewangan Lim Guang Eng berkata sistem itu yang diwarisi menerusi pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mendaftarkan sebanyak 472,000 syarikat sebelum ini.

“Namun di bawah SST, hanya 100,000 syarikat daripada jumlah itu akan dikenakan cukai dan kita boleh kesan siapa yang cuba lari daripada membayarnya.

“Pada masa sama, kerajaan bukan sahaja bergantung kepada pegawai-pegawai yang ada untuk menyiasat syarikat-syarikat tersebut satu persatu, kerana kita juga akan gunakan sistem perkomputeran.

"Apabila naik (wujud) nama (syarikat) dalam sistem, memang susah untuk lepas,” katanya.

Lim berkata demikian pada sidang media selepas taklimat SST kepada pihak yang terlibat industri di Batu Pahat, Johor hari ini.

Turut hadir Penasihat Menteri Kewangan, Datuk Ooi Kok Seng dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penkastaman) Datuk Paddy Abd Halim.

Lim berkata mana-mana syarikat yang belum mendaftar di bawah SST masih mempunyai masa untuk berbuat demikian kerana kerana kerajaan masih lagi mengamalkan pendekatan ‘lembut’ terhadap mereka.

Namun katanya apabila tamat tempoh berkenaan kerajaan akan terus mengambil tindakan mengikut undang-undang ditetapkan.

“Sekarang sangat mudah dan senang iaitu terus masuk ke laman web (Jabatan Kastam Diraja Malaysia) dan daftar.

"Kalau nak pengecualian (cukai) pun, kita akan bagi automatik tetapi sebelum itu, kita akan semak," katanya.

Menurut Lim lagi kerajaan mungkin akan mengubah dasar 'berlembut' itu mulai tahun depan.

“Kita tidak boleh berlembut selama-lamanya dan kerajaan berharap semua syarikat tidak mengambil kesempatan,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS