Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam kata cuma dapat jumpa Hasanah lima minit

Peguam yang mewakili bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid berkata beliau hanya dibenarkan menemui anak guamnya itu selama kira-kira lima minit sebelum prosiding reman.

Shahrudin Md Ali ketika memberitahu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkata Peguam Negara Tommy Thomas pasti akan kecewa jika mendapat tahu anak guamnya dinafikan mendapat nasihat guaman.

"Saya hanya dibenarkan berjumpa Hasanah selama lima minit sebelum prosiding reman. Ia cuma bersembang.

"Jumpa tak sama dengan runding, walaupun pertemuan singkat pun, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ada di situ," katanya memberitahu mahkamah.

Justeru itu, Shahrudin berkata anak guamnya berhak mendapat nasihat undang-undang dan bukan sekadar bertemu dengannya.

Hasanah memfailkan saman pemula terhadap Seksyen 28 (8) dan Seksyen 28 (9) Kanun Prosedur Jenayah yang dikatakan bertentangan Artikel 5 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Shahrudin tindakan SPRM menggunakan dua seksyen berkenaan terhadap Hasanah menafikan hak anak guamnya serta melanggar perlembagaan.

Perkara 5 (3) menyatakan jika seseorang ditangkap individu berkenaan hendaklah dimaklumkan alasan penahanannya dan dibenarkan mendapatkan khidmat guaman oleh seorang pengamal undang-undang pilihannya.

Hasanah direman selama enam hari bulan lepas dan dalam tempoh itu peguamnya mendakwa anak guamnya dinafikan hak untuk diwakili peguam.

Beliau ditahan pada 28 Ogos lalu berhubung dakwaan penyelewengan dana sehingga AS$12 juta yang dipercayai untuk PRU ke-14.

Selain itu tujuh lagi bekas kakitangan MEIO turut disoal siasat berhubung kes itu.

'Perlembagaan lebih tinggi'

Peguam kanan Persekutuan, Norzilati Izhani Zainal @ Zainol berkata pertemuan Hasanah dengan peguamnya sebanyak dua kali adalah berdasarkan peruntukan di bawah Artikel 5 (1) Perlembagaan.

"Ini ditegaskan dalam afidavit pegawai penyiasat SPRM dan juga boleh dilihat dalam afidavit peguam pemohon (Hasanah)," katanya.

Beliau menambah seksyen 28 (8) dan seksyen 28 (9) tidak sepatutnya dilihat sebagai diskriminasi kerana apabila Hasanah berjumpa peguamnya, ini menunjukkan bahawa haknya dilindungi.

Oleh itu, Norzilati berkata, tidak ada pelanggaran perlembagaan dan oleh itu saman pemula itu harus dibatalkan.

Shahrudin, yang muncul bersama peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz membantah dengan mengatakan anak guamnya berhak mendapat nasihat daripada peguam pilihannya.

"Anda tidak boleh menggantung hak seseorang berdasarkan suatu seksyen undang-undang kerana perlembagaan harus lebih tinggi," katanya.

Shahrudin berkata Hasanah bertemu peguamnya kurang lima minit dan perjumpaan itu dilakukan dengan kehadiran pegawai SPRM. Hakim Nordin Hassan menetapkan 26 Okt untuk mahkamah membuat keputusan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS