Malaysiakini
BERITA

Siasatan terhadap Rosmah siap, tunggu tindakan AG

Bernama

Diterbitkan
Dikemaskini 24 Sep 2018, 3:12 petang

Siasatan terhadap isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor telah siap dan telah diserahkan kepada Peguam Negara, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

“Agensi ini hanya bertanggungjawab menjalankan siasatan dan terserah kepada Peguam Negara untuk mendakwa Rosmah atau tidak,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan Rosmah dijangka berdepan lebih 20 pertuduhan jenayah, kebanyakannya membabitkan pengubahan wang haram. Pada Jun lepas Rosmah dipanggil memberi keterangan kepada SPRM di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya.

Khamis lepas, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Azam Baki berkata agensi itu tidak menolak kemungkinan Rosmah akan didakwa dalam masa terdekat.

Mohd Shukri yang ditemui pemberita selepas menyampaikan Executive Talk bertajuk ‘Rasuah: Cabaran Kepada Anak Muda’ sempena Konvensyen Mahasiswa Anti Rasuah (KoMawAR) di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Arau hari ini bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak boleh jawab soalan tuan-tuan sama ada dia (Rosmah) akan didakwa kerana ia di luar bidang kuasa kami,” kata Mohd Shukri.

Semasa menjawab soalan seorang pelajar kenapa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dibebaskan daripada pertuduhan rasuah pembelian banglo selepas pilihan raya umum ke-14 lepas, beliau berkata kuasa penuh untuk mendakwa terletak kepada Peguam Negara.

Mengenai kenyataan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa wujud individu berkuasa menawarkan kontrak untuk mendapat sokongan dalam pemilihan parti itu, Mohd Shukri meminta Anwar memberi maklumat mengenai kewujudan individu berkenaan.

Katanya, tanpa maklumat adalah sukar untuk SPRM menjalankan siasatan.

Akhbar hari ini melaporkan Anwar mengakui berlaku penawaran itu dan menegaskan beliau sama sekali tidak berkompromi dengan pemimpin yang menggunakan taktik kotor untuk menang jawatan.

- Bernama

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.