Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PENA: Tamatkan kebiadaban pada bahasa Melayu
Diterbitkan:  Sep 25, 2018 2:57 PM
Dikemaskini: 8:51 AM

Persatuan Penulis Nasional (PENA) menyelar tindakan seorang ahli majlis sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana didakwa tidak menggunakan bahasa kebangsaan dalam surat rasminya.

Presidennya Dr Saleeh Rahamad berkata surat yang dikemukan oleh Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Chan Wei Khjan itu satu tindakan yang boleh dianggap keterlaluan dan "perlu dihapuskan".

"Ini kebiadaban yang perlu dihapuskan.

"Penggunaan bahasa vernakular oleh seorang ahli majlis pihak berkuasa tempatan tidak boleh didiamkan kerana jelas bertentangan dan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan," katanya.


Baca: Sultan murka surat ahli majlis dalam bahasa Cina


Malah kata Saleeh jika kebiadaban itu tidak ditamatkan peranan berkenaan akan dilakukan oleh pihak lain.

"Jika kebiadaban ini tidak dihentikan oleh kerajaan nescaya akan ada tangan bukan kerajaan mengambil alih peranan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Surat jemputan majlis perbincangan mengenai infastruktur jalan raya bertarikh 12 September lalu itu tular di media sosial sejak semalam.

Ia memaparkan sekeping surat menggunakan tulisan Cina bersama bahasa Inggeris dan cepat menarik perhatian di kalangan aktivis seni budaya.

Persoalkan kerajaan HARAPAN

Untuk rekod isu surat menggunakan tulisan Cina bukanlah kali pertama menjadi bahan kecaman terhadap kerajaan.

Terdahulu Menteri Kewangan Lim Guan Eng menjadi sasaran kutukan dalam kalangan ahli politik dan aktivis bahasa Melayu kerana didakwa mengetepikan bahasa kebangsaan semasa membuat kenyataan.

Bagaimanapun surat itu bukanlah makluman tunggal dikeluarkan Lim sebaliknya turut disertakan dengan versi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Katanya kenyataan bahasa Melayu kadang-kadang diterjemah ke bahasa lain mengikut keperluan semasa.

Kata Saleeh adakah perubahan kerajaan daripada BN kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) juga bermakna dasar bahasa kebangsaan juga akan bertukar.

"Benar, tindakan ini secara terpencil tidak akan menjahanamkan negara bangsa, tetapi dari sudut bacaan berlapis (semiotik pun boleh), ia suatu simbolik yang mempamerkan keangkuhan dan akan menjadi virus yang mewabak dalam pemikiran massa," tegasnya.

Dalam perkembangan sama perkara itu turut mendapat perhatian bekas menteri besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin.

"Semua urusan surat-menyurat dengan jabatan-jabatan kerajaan mesti dalam bahasa Melayu. Jika tidak jangan dilayan," katanya dalam satu tulisan disertakan gambar surat berkenaan di Instagram.

Jangan buat provokasi

Sementara itu, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling Cheo Yee How tampil memberi penjelasan.

Katanya surat asal mengenai pemakluman itu sebenarnya menggunakan bahasa Melayu.

Beliau menyifatkan tuduhan Khaled dan pihak lain yang menyebarkan hanya lampiran dalam tulisan Cina serta Inggeris dianggap sebagai tindakan provokatif.

"Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Perling merakamkan rasa kesal dengan tindakan Mohamed Khaled yang sengaja menimbulkan keraguan di hati masyarakat berbilang kaum di dalam negara ini.

"Tindakan mereka itu tidak patut dicontohi oleh masyarakat majmuk di Malaysia ini.

"Di sini kami ingin memohon maaf kepada mereka yang tersinggung dengan perkara ini serta pihak kami juga bertanggungjawab dalam menjawab segala tohmahan yang dilemparkan kepada pihak kami," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Cheo berkata, surat jemputan perbincangan itu sebenarnya ditulis dalam bahasa kebangsaan dan surat salinan bahasa Cina serta Inggeris itu hanyalah salinan.

Menurutnya, perkara itu tidak sepatutnya menjadi masalah.

"Ia hanyalah surat lampiran yang kami rasa perlu untuk menyebarluaskan jemputan tersebut kepada orang awam yang bukan melayu di kawasan Jalan Jaya Mas dan Jalan Silat Cekak.

"Dalam surat yang disebarkan Khaled itu - jika diteliti - tidak memaparkan nombor rujukan dan tarikh, bermakna surat berkenaan disebar hanyalah sekadar lampiran," katanya.

"Kepada individu seperti Khaled juga, perlulah melihat perkara dengan lebih matang, tapi sayangnya bekas pimpinan negeri Johor itu nampak gelabah dan tidak bertanya kepada sebaliknya terus membuat provokasi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS