Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Mujahid tak adil, berniat jahat terhadap Zakir Naik'
Diterbitkan:  Sep 26, 2018 9:56 AM
Dikemaskini: 2:03 AM

Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan menyifatkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof terhadap pendakwah Zakir Naik sebagai tidak adil dan berniat jahat.

Beliau merujuk kenyataan Mujahid pada 25 September lalu bahawa kaedah perdebatan yang selalu digunakan Zakir dan adakala sehingga merendahkan agama lain tidak sesuai di Malaysia.

"Kita tidak perlukan kaedah perdebatan yang mencaci agama orang lain, tetapi kaedah penyampaian dakwah yang lebih intelek dan tenang tanpa merendahkan maruah agama lain,” kata Mujahid seperti dipetik FMT.

Nasrudin berkata kenyataan itu berbeza dengan pendirian Mujahid pada tahun 2016 yang menurutnya membela program Zakir dan menggesa pihak yang tidak berpuas hati agar berbahas dengannya.

Justeru beliau mempersoalkan sama ada pendirian baru itu didorong pihak tertentu yang memang tidak senang dengan Zakir.

"Mujahid harus malu dan melihat kembali kenyataan yang pernah beliau kemukakan pada 2017 (2016).

"Jika beliau tidak setuju dengan kaedah debat yang dianjurkan, maka beliau boleh berbincang daripada aspek teknikal....Sikap apologetik Mujahid sangat naif sehingga membuat tuduhan melulu," katanya dalam kenyataan semalam.

Nasrudin yang juga bekas anggota parlimen Temerloh membandingkan sikap itu dengan langkah Mujahid untuk berdialog dengan aktivis LGBT Nisha Ayub dan Timbalan ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy yang sebelum ini dituduh menyokong pertubuhan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

"Namun apabila timbul isu Dr Zakir Naik, beliau menyerang secara melulu tanpa berunding dengan tokoh itu," katanya lagi.

Pendirian saya masih sama

Pada 2016, ketika ramai yang mempersoalkan tindakan kerajaan ketika itu yang membenarkan Zakir - seorang warganengara India - berlindung di Malaysia, Mujahid tampil membelanya.


BacaBerdialog lebih sesuai buat Zakir di Malaysia


Beliau dilaporkan berkata Zakir perlu dibenarkan berada di dalam negara kerana beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Bercakap dengan Malaysiakini semalam, Mujahid berkata pendiriannya terhadap Zakir masih sama - selain tetap menghormatinya - cuma merasakan kaedah yang digunakan sebagai tidak sesuai di Malaysia.

"Ingin saya tegaskan bahawa kenyataan saya sama ada pada 2016 mahupun hari ini masih konsisten. Apa yang ingin saya jelaskan sekarang hanyalah cara perdebatan oleh pendakwah berkenaan," katanya.

Beliau berkata kebenaran agama dapat ditonjolkan dengan pelbagai cara termasuk melalui dialog antara agama dan tidak semestinya menggunakan pendekatan Zakir.

Lihat Komen
ADS