Penerbit buku tempatan, ZI Publications memperoleh hak untuk menerbitkan terjemahan buku bahasa Melayu "Billion Dollar Whale".
Pemilik ZI Publications, Datuk Zaid Ibrahim berkata syarikat itu memperoleh hak daripada Hachette Books kira-kira dua bulan lalu dan dijangka melancarkan buku terjemahan tersebut pada November depan.
"Saya rasa ini adalah buku yang menarik dan saya fikir ia akan menjadi bacaan yang meluas," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.
Beliau berkata selain Malaysia, Mexico adalah satu-satunya negara lain yang mendapat hak untuk menerbitkan edisi terjemahan "Billion Dollar Whale".
Mengenai tajuknya pula, bekas menteri undang-undang itu berkata edisi buku bahasa Melayu itu masih menggunakan tajuk "Billion Dollar Whale" walaupun kandungannya diterjemah dalam bahasa Melayu.
Ini kerana kata Zaid orang ramai sudah biasa dengan tajuk berkenaan dan ia akan mengelirukan sekiranya tajuk itu diubah.
Buku tersebut ditulis oleh wartawan The Wall Street Journal, Tom Wright dan Bradley Hope yang memfokuskan ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang Low Taek Jho sebagai tokoh utama dalam skandal 1MDB.
Ia dilancarkan di New York pada 18 September lalu.
Semalam Wright berada di Malaysia untuk mempromosikan buku berkenaan.
Menurut penulisnya, "whale" adalah istilah yang digunakan dalam industri kasino dan kelab malam untuk merujuk kepada mereka yang berbelanja besar - seperti Low yang gemar berpoya-poya dengan mengadakan parti dan berjudi melibatkan pertaruhan besar.
Low menafikan sebarang salah laku dan mengecam buku itu sebagai percubaan pihak media untuk memburukkannya.
