Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) merancang membangunkan sebuah kilang sawit di negeri ini berikutan peningkatan pengeluaran hasil ladang yang dicatatkan.
Pengerusi Pasfa Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid berkata bagi tujuan itu, pihaknya telah mengemukakan permohonan mendapatkan tanah seluas kira-kira 4,047 hektar kepada kerajaan negeri.
"Kilang berkenaan bakal memaksimumkan keuntungan dengan memproses sendiri buah tandan segar dan menjual minyak sawit kepada kilang penapis sekali gus membantu ahli peladang melalui pembelian hasil pada harga yang lebih tinggi.
"Peningkatan hasil sawit dapat dilihat di mana pada tahun 2016 Pasfa mencatatkan pengeluaran Buah Tandan Segar (BTS) sebanyak 53,000 metrik tan, tahun 2017 (58,500 metrik tan) dan pada tahun ini terus meningkat kepada 62,000 metrik tan," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Pasfa kali ke 45 di Hotel Grand Darul Makmur, di sini malam tadi yang disempurnakan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Pasfa, sebuah institusi Peladang di bawah kawalan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bermula dengan lapan buah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) pada tahun 1971 kini memiliki 66,146 orang ahli dengan 22 PPK di seluruh Pahang.
Sementara itu Wan Rosdy meminta pertubuhan itu agar mempelbagaikan tanaman yang diusahakan bagi mengembangkan lagi sektor perladangan supaya ia dapat menjana pendapatan lebih tinggi.
"Kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha dilakukan untuk membangunkan sektor pertanian serta peladangan dan akan segera meluluskan pemberian tanah jika ia memenuhi syarat, selain mampu membawa pulangan modal dalam jangka panjang.
“Mereka perlu rebut peluang jika ada tanah seluas 500 ekar diluluskan kerajaan, ambil dahulu. Jangan tunggu cukup 1,000 ekar baharu hendak terima.
“Daripada tanah yang diluluskan itu mereka boleh bangunkan dengan membuat bermacam projek tanaman,” katanya
-Bernama
