Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amaran supaya beri keterangan tidak memihak kepada tertuduh - Saksi
Diterbitkan:  Sep 27, 2018 3:56 PM
Dikemaskini: 7:58 AM

Seorang penuntut Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia dan beberapa pelajar lain yang akan menjadi saksi dalam perbicaraan kes bunuh Zulfarhan Osman Zulkifli telah diberi amaran oleh pihak atasan UPNM untuk memberi keterangan di mahkamah yang tidak memihak kepada tertuduh-tertuduh dalam kes itu.

Ahmad Senabil Mohamad, 22, penuntut tahun tiga jurusan Pengurusan Sumber Manusia UPNM memberitahu demikian ketika pemeriksaan balas peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili tertuduh pertama dalam kes itu pada perbicaraan hari ke-15.

Amer Hamzah : Kamu dan pelajar-pelajar lain telah diberi amaran supaya tidak beri keterangan yang memihak kepada tertuduh-tertuduh. Setuju dengan cadangan saya.

Saksi pendakwaan Ke-24 itu juga bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa dia dan beberapa rakan seuniversitinya itu telah dipanggil oleh seorang pegawai atasan selepas seorang lagi rakannya iaitu Muhammad Izzul Akhtar Rosli, 22, selesai memberi keterangan di mahkamah sebagai saksi pendakwaan Ke-17.

Dia turut mengakui bahawa tujuan pegawai atasan memanggil kesemua pelajar tersebut kerana beliau tidak berpuas hati dengan keterangan yang telah diberi Muhammad Izzul Akhtar di mahkamah.

Ahmad Senabil turut memberitahu bahawa sebelum kes itu dibawa ke mahkamah, dia dan beberapa penuntut UPNM yang lain telah dipanggil oleh seorang pegawai penyiasat polis tentera untuk memberi keterangan berhubung kejadian itu.

“Proses beri keterangan dijalankan serentak dalam sebuah bilik di UPNM,” katanya yang menambah mereka kemudian diminta menandatangani satu dokumen yang disediakan pegawai tersebut.

Enam penuntut UPNM iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Pertuduhan terhadap mereka, yang kesemuanya berusia 22 tahun, dibuat mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 13 lagi penuntut lain turut didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mang­sa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntuk hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 25 Okt.

- Bernama
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS