Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin tak boleh terima idea kerajaan perpaduan dengan Umno

Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau tidak boleh menerima idea kerajaan perpaduan antara Umno dan mana-mana parti Pakatan Harapan (HARAPAN) memandangkan rakyat menolak Umno pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Anggota parlimen Pagoh itu berkata beliau juga tidak pernah mendengar perkara itu sebelum ini dan ia timbul selepas disebut Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya pertama kali dengar mengenai kerajaan perpaduan. HARAPAN dah menang dan tubuh kerajaan, kita ada majoriti di parlimen dan Umno kalah (PRU14). Walaupun dia ada anggota parlimen tapi tak cukup nak dapatkan majoriti.

“Ini pertama kali saya dengar nak tubuh kerajaan campuran, saya tak pasti apa yang akan dikatakan oleh kawan-kawan saya (pasal perkara ini).

"Dulu orang tolak Umno dan nak Umno kalah sebab rakyat dah tak percaya kerana mereka dikaitkan dengan rasuah, salah guna kuasa tapi apa yang penting pada saya perkara ini tak boleh terima,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat BERSATU, hari ini.

Ahmad Zahid melalui laporan New Straits Times, hari ini berkata Umno adalah parti yang sedang menunggu menjadi kerajaan dan berharap dapat kembali berkuasa dengan membentuk "kerajaan perpaduan" dengan mana-mana parti HARAPAN tidak lama lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada keputusan BN untuk memboikot pilihan raya kecil Port Dickson ada kaitan dengan usaha menjalin perikatan dengan PKR atau BERSATU.

Menurut Ahmad Zahid, pihaknya terbuka untuk mengadakan perbincangan sama ada sebelum atau selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

"Sebarang perbincangan dengan mana-mana parti tidak akan mempunyai tempoh masa yang ditetapkan atau tarikh akhir kerana sebarang keputusan mesti mempunyai persetujuan dari kedua belah pihak.

"Saya perlu menghormati pendapat rakan-rakan saya dalam Umno dan BN. Bagaimanapun, lebih cepat lebih baik," beliau dilaporkan sebagai berkata.

Lihat Komen
ADS