Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengundi PD mahu mahkamah isytihar status kelayakan Anwar bertanding
Diterbitkan:  Sep 28, 2018 10:35 PM
Dikemaskini: 2:58 PM

Seorang pengundi kawasan Parlimen Port Dickson memfailkan permohonan deklarasi mahkamah berhubung kelayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) di situ.

Permohonan itu difailkan Noraziah Mohd Shariff di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Ia juga disertakan dengan perakuan segera - memohon permohonan itu didengar secepat mungkin - namun tarikh pendengaran masih belum ditetapkan.

Dalam afidavitnya, Noraziah menyatakan pengampunan diraja terhadap Anwar tidak mengecualikan kehilangan kelayakannya untuk bertanding kerana Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong ditubuhkan tanpa mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, lembaga itu juga berjalan tanpa penyertaan peguam negara - seperti dalam Artikel 42(5) Perlembagaan Persekutuan - dan menteri wilayah persekutuan - seperti dalam Artikel 42(11) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel 42(5) Perlembagaan Persekutuan menyatakan, "Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bagi setiap negeri hendaklah terdiri daripada peguam negara persekutuan, ketua menteri negeri itu dan tidak lebih daripada tiga orang anggota lan yang hendaklah dilantik oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri.

"...tetapi Peguam Negara boleh dari semasa ke semasa melalui surat cara secara bertulis mewakilkan fungsinya sebagai anggota Lembaga itu kepada mana-mana orang lain, dan Raja atau Yang di-Pertua Negeri boleh melantik mana-mana orang untuk menjalankan buat sementara fungsi mana-mana anggota Lembaga yang dilantik olehnya yang tidak hadir atau tidak dapat menjalankan fungsinya."

Artikel 42(11) pula, "...maka hendaklah ditubuhkan Lembaga Pengampunan tunggal bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dan peruntukan Fasal (5), (6), (7), (8) dan (9) hendaklah terpakai mutatis mutandis bagi Lembaga Pengampunan di bawah Fasal ini.

"...kecuali bahawa sebutan mengenai 'Raja atau Yang di-Pertua Negeri' hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Yang di-Pertuan Agong dan sebutan mengenai 'Ketua Menteri Negeri itu' hendaklah ditafsirkan seabgai sebutan mengenai Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya."

Mengambil kira perkara itu, saman pemula Noraziah memohon deklarasi mahkamah bahawa pengampunan diraja terhadap Anwar tidak membatalkan kehilangan kelyakannnya untuk menjadi anggota parlimen.

Beliau juga memohon deklarasi bahawa Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan tidak menepati perlembagaan, serta Anwar tidak berhak untuk bertanding mana-mana kerusi Parlimen sehingga tempoh hilang kelayakan tamat.

Ketika itu, menteri wilayah persekutuan belum dilantik manakala Tan Sri Mohd Apandi Ali tidak dapat menjalankan tugas sebagai peguam engara kerana sedang bercuti.

Anwar diberi pengampunan penuh pada 16 Mei lalu selepas rayuannya dibentang dan dipertimbang dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya ke-51.

Anwar kemudian mendakwa pengampunan itu bermula sejak 1998 dan maka membersihkan seluruh rekodnya.

Mutakhir ini timbul persoalan terhadap Lembaga Pengampunan, antaranya oleh peguam Siti Kasim yang juga meminta penjelasan daripada peguam negara Tommy Thomas.

Thomas membalas pertanyaannya dalam surat bertarikh 21 September yang mengesahkan Anwar menerima pengampunan penuh dan boleh bertanding dalam PRK Port Dickson.

Dalam sidang media di Port Dickson hari ini, Anwar berkata dokumen pengampunan dibacakan kepadanya oleh ketua pengarah penjara di rumahnya.

Beliau juga menyangkal dakwaan bahawa perlu menandatangani dokumen tertentu untuk mengesahkan pengampunan itu.

"Anda tidak boleh halang orang bangkitkan isu ini. Ini negara bebas...Tetapi anda tidak boleh serang atau hakimi kerana fakta sudah ada. Keputusan sangat jelas. Ia dibaca oleh ketua pengarah penjara kepada saya dan (isteri) di rumah kami.

"Empat bulan kemudian, tiba-tiba ia jadi isu. Sama seperti selepas 20 tahun, mereka tiba-tiba rasa Anwar mungkin bukan seorang pemimpin Malaysia, mungkin (dia) seorang ekstremis Melayu.

"Anda tidak boleh halang orang suarakan pandangan atau persoalan. Kami ada rekod," katanya lagi.

Permohonan Noraziah merupakan tindakan kedua berkaitan PRK Port Dickson.

Semalam, seorang pengundi Port Dickson Rosmadi Mohd Kassim membuat permohonan mahkamah untuk membatalkan perletakan jawatan Datuk Danyal Balagopal Abdullah sebagai anggota parlimen Port Dickson dan pembatalan notis pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung PRK itu.

Mahkamah menetapkan 2 Oktober untuk pendengaran.

Kedua-dua permohonan - Noraziah dan Rosmadi - difailkan melalui firma guaman sama, Tetuan Raja Riza & Associates.

Laporan tambahan dari Port Dickson oleh Lu Wei Hoong.

Lihat Komen
ADS