Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menggesa pemansuhan kuasa veto yang dipegang lima kuasa besar dunia dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
Dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) hari ini, Mahathir mengulangi cadangannya pada tahun 2003 agar kuasa veto memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua anggota tetap.
“Saya pernah mencadangkan yang kuasa veto tidak wajar ditentukan hanya satu anggota tetap tetapi sekurang-kurangnya dua anggota tetap dengan sokongan tiga anggota tidak tetap UNSC.
"UNGA kemudian sepatutnya menyokong keputusan yang dibuat UNSC dengan majoriti mudah. Saya tidak mahu bercakap panjang," kata Mahathir.
Lima kuasa besar memiliki kuasa veto iaitu Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, China, Russia dan Perancis.
Mahathir berkata PBB perlu direformasikan dalam usaha mengakhiri kemiskinan, melindungi planet ini dan memastikan keamanan dan kemakmuran.
Mengenai perdagangan, Mahathir berkata, walaupun negara-negara yang berkuasa memimpin perdagangan bebas, negara-negara miskin masih tertakluk kepada halangan perdagangan yang dikenakan golongan kaya.
Tambahnya, produk daripada minyak kelapa sawit Malaysia dilabel sebagai berbahaya kepada kesihatan termasuk dakwaan bahawa ladang tanaman itu memusnahkan habitat haiwan.
"Orang kaya isytiharkan produk makanan mereka bebas daripada minyak kelapa sawit. Sekarang diesel sawit dikutuk kerana memusnahkan hutan dara. Orang-orang yang peduli ini lupa bahawa boikot mereka menghilangkan pekerjaan dan kehidupan ratusan ribu orang.
"Kami di Malaysia menjaga alam sekitar, dan 48 peratus daripada negara kami masih merupakan hutan dara. Bolehkah pengkritik kami mendakwa perkara yang sama berlaku di negara mereka sendiri?" katanya.
Malaysia, katanya, komited terhadap pembangunan mampan dan akan memperkenalkan Pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) menjelang akhir 2019.
"Ini akan memastikan setiap titisan minyak sawit yang dihasilkan di Malaysia akan diperakui lestari menjelang 2020," katanya.
