PRK PD | Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun, digesa mengumumkan cuti peristiwa khas di negeri itu sempena pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson yang akan diadakan pada hari Sabtu, 13 Oktober ini.
Menurut R Suresh Kumar, yang merupakan salah seorang anggota pasukan penyelaras PRK Port Dickson, kebanyakan pengundi di parlimen itu bekerja di luar kawasan.
"Kami mendapati kebanyakan mereka perlu kerja pada hari Sabtu, yang merupakan hari mengundi. Ada yang kerja di Seremban, Sepang, KLIA dan tempat-tempat lain.
"Mereka kata tidak mampu mengundi sekiranya hanya diberi kelonggaran dua hingga empat jam untuk keluar mengundi dan perlu kembali ke tempat kerja.
"Ini akan memberi kesan kepada jumlah peratus keluar mengundi di PRK Port Dickson.
"Maka, kami dari PKR, bagi pihak lebih 75,000 pengundi Port Dickson meminta jasa baik menteri besar Negeri Sembilan supaya mengumumkan cuti peristiwa khas pada hari mengundi," katanya kepada pemberita hari ini.
Tambahnya, pengumuman cuti peristiwa khas pada hari mengundi adalah hak mutlak seorang ketua kerajaan negeri.
"Pada 2015, di PRK Permatang Pauh, ketua menteri Pulau Pinang ketika itu, Lim Guan Eng mengumumkan cuti peristiwa khas selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 7 Mei yang merupakan hari Khamis.
"Kami mahu menteri besar Aminuddin mengambil kira seruan pengundi-pengundi Port Dickson, supaya mengumumkan 13 Oktober sebagai hari cuti peristiwa khas," ujarnya.
Terdahulu, SPR mengumumkan PRK Port Dickson akan menampilkan pertandingan tujuh penjuru, antara calon HARAPAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim; calon PAS Leftenen Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar dan bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad dilihat sebagai pencabar utama.
Empat calon lain adalah calon bebas iaitu; Lay Seck Yan, Stevie Chan, Kee Chee Yuen, dan bekas pembantu khas Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Sebanyak 75,211 layak mengundi pada PRK berkenaan. Daripada jumlah itu, 43 peratus adalah pengundi Melayu, diikuti pengundi Cina 32 peratus, pengundi India sebanyak 21 peratus, dan lain-lain sebanyak 3 peratus.
Dalam pada itu, Suresh Kumar turut meramalkan jumlah peratus pengundi India akan pada hari mengundi akan mencapai 75 hingga 80 peratus.
"Saya tidak berani ramalkan terhadap kaum lain. Namun, pengundi India di Port Dickson merupakan penyokong paling kuat kepada PKR dan Anwar. Hampir 85 peratus menyokong Anwar.
"Ada yang datang berjumpa dengan kami untuk membantu kempen tanpa sebarang bayaran dan penghargaan. Ini memudahkan kerja kami.
"Yang kami nak pastikan adalah pengundi tidak menghadapi sebarang kesusahan pada hari mengundi untuk keluar ke pusat mengundi," katanya.
