Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Di sebalik PAU, Najib akui kecil hati kerana dilupakan
Diterbitkan:  Sep 30, 2018 4:46 PM
Dikemaskini: 12:31 PM

PAU 2018 | Dalam berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2018 yang bermula sejak Jumaat lalu, Datuk Seri Najib Razak meluahkan rasa kecil hati kerana khidmatnya sebagai anggota dan bekas presiden Umno selama ini "dilupakan sekelip mata".

"Merujuk kepada PAU ke-72 yang sedang berlangsung kini, sebagai seorang bekas pimpinan negara dan seorang bekas perdana menteri serta khususnya mantan presiden Umno ke-6, adalah amat berbohong jika tidak ada secalit perasaan terluka dan terguris di hati kecil ini.

"Justeru, sesekali saya merenung, sepanjang lebih empat dekad saya terlibat di dalam politik tanah air sehingga menduduki jawatan perdana menteri selama hampir satu dekad, juga dalam konteks PAU ini, sebagai seorang bekas presiden Umno. Segala perjalanan dan pengalaman lebih 40 tahun berasa seperti baru hari kelmarin.

"Benarlah, seperti yang dipesan oleh Allahyarham ayahanda saya dahulu, tiada bakti lebih mulia daripada berkhidmat kepada rakyat dan balasan baik atas pengabdian kepada rakyat itu tidak selalunya terbalas di dunia ini.

"Yang penting setiapnya sudah saya perbuat sehabis baik cumanya kini bak diterlupakan sekelip mata," tulisnya dalam kenyataan di Facebook, semalam.


Baca berita lain: Air mata Najib tumpah di sesi penutup PAU


Tambah Najib, beliau tidak bermaksud untuk menyatakan kekecewaan atau putus asa. Namun, sebagai manusia biasa, beliau mengakui terdapat kelemahan sepanjang tempoh pemerintahannya.

"Semasa berkesempatan menjadi pucuk pimpinan negara, saya bersyukur atas rahmat yang dikurniakan itu untuk mencurahkan yang terbaik kepada rakyat, ketahuilah, sejujurnya tiap satu apa yang saya usahakan siang dan malam bekerja begitu keras adalah demi kasih saya kepada rakyat dan telah saya cuba dengan terbaik.

"Dan ramai pasti yang tidak dapat menafikan segala usaha yang dilakukan itu telah pun membuah dan menampakkan hasilnya bagi dinikmati dan dikecapi rakyat sekarang ini," katanya.

Tambahnya lagi, perasaan dan jiwanya berasa hancur luluh "bagai kaca terhempas di batu" dengan situasi yang dihadapinya ketika ini.

"Seolah-olah segala jasa bakti yang telah saya hulurkan selama ini demi rakyat dan negara tercinta bagai mudahnya terpadam dan sirna bak ombak yang melanda menghilangkan tulisan-tulisan di pasir pantai.

"Atas segalanya, saya redha dan cuba terus memperkuatkan diri untuk menerima dugaan Allah SWT ini yang saya anggap paling besar pernah saya hadapi.

"Apapun saya yakin, Allah itu pasti menghitung setiap amal, walau sebesar zarah sekalipun. Janji Allah itu pasti," katanya.

Menyentuh secara langsung tentang PAU kali ini yang dikatakan tidak semeriah sebelum ini, anggota parlimen Pekan itu mengingatkan bahawa ia adalah satu "muhasabah" untuk Umno yang kini berusian tujuh dekad.

Ketika hadir di PAU semalam, Najib memuji ucapan perasmian penggantinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Najib berkata, Zahid menggariskan langkah-langkah positif kepada ahli Umno untuk terus melangkah ke hadapan.

Ini adalah perhimpunan agung Umno pertama yang dihadiri Najib sejak meletakkan jawatan sebagai presiden tiga hari selepas parti itu kehilangan kuasa pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Lihat Komen
ADS