Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MPHTJ ambil alih Zoo Melaka, Taman Burung
Diterbitkan:  Oct 1, 2018 2:09 PM
Dikemaskini: 6:14 AM

Pengurusan dan pengoperasian Zoo Melaka dan Safari Malam serta Taman Burung di Ayer Keroh telah diambil alih Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) berkuat kuasa hari ini, kata Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka Tey Kok Kiew.

Beliau berkata pengambilalihan dua ikon pelancongan negeri itu daripada syarikat Konsortium KKW Sdn Bhd itu diambil ekoran syarikat swasta berkenaan telah melanggar syarat serta perjanjian yang dipersetujui pada 31 Dis 2012.

Tey berkata perjanjian pengswastaan antara kedua-dua pihak ditamatkan pada Jumaat lepas dan pengurusan kedua-dua taman haiwan itu diserahkan kepada MPHTJ semalam.

"Pengambilalihan baharu ini demi kepentingan dan imej Zoo Melaka dan Safari Malam serta Taman Burung selain ia merupakan antara aset penting yang menyumbang pada ekonomi negeri khususnya dalam sektor pelancongan," katanya pada sidang akhbar di Melaka, hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua MPHTJ Mahani Masban.

Mengulas lanjut, Tey berkata kesemua 70 pekerja Zoo Melaka dan Safari Malam serta Taman Burung di bawah pengurusan sebelum ini ditawarkan untuk meneruskan perkhidmatan di bawah pengurusan MPHTJ.

Sementara itu, Mahani berkata Zoo Melaka dan Safari Malam serta Taman Burung akan ditutup untuk kerja pengauditan, pembersihan dan penambahbaikan selama 14 hari bermula 28 Sept lepas.

Beliau berkata pengauditan berkenaan meliputi pelbagai aspek penilaian aset dan inventori haiwan yang terdapat di kedua-dua pusat tarikan pelancongan tersebut.

"Proses pengauditan ini mengambil masa dan ia penting untuk mengetahui jumlah haiwan terkini yang berada di zoo dan Taman Burung agar ketika MPHTJ mengambil alih dan sebelum pengambilalihan itu bagi tindakan lanjut," katanya.

Pada 28 Ogos lepas, Bernama melaporkan kerajaan negeri Melaka sedang mempertimbang untuk mengambil alih semula atau meneruskan penswastaan Zoo Melaka dan Safari Malam untuk masa depan dan kedudukan produk pelancongan itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS