Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Pemimpin HARAPAN kecam Akta Hasutan diguna ke atas adik Lokman

Selepas dikritik kerana berdiam diri ekoran penggunaan Akta Hasutan 1948, beberapa pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) akhirnya tampil berhubung penahanan adik kepada anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam.

Azman Noor Adam ditahan dan seterusnya direman empat hari awal pagi semalam atas dakwaan menghina Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melalui perkongsian di Facebook.

Hari ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin berkata undang-undang lain yang seharusnya digunakan berhubung perkara itu.

"Pada pendapat saya, Akta Hasutan tidak seharusnya digunakan ke atas sesiapa.

"Katakan jika seseorang melanggar undang-undang, lebih baik menggunakan undang-undang lain untuk membawanya ke muka keadilan," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Selain Hanipa, Anggota Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah juga tidak bersetuju penggunaan Akta Hasutan ke atas Azman, terutama apabila kerajaan HARAPAN sedang berusaha memansuhkan akta itu.

"HARAPAN sedang mengkaji semula Akta Hasutan, dan kami kata kami akan mansuhkan, itu tetap adalah janji kami.

"Jadi bagi saya, saya rasa tak ada sebab untuk guna akta itu," katanya ketika ditemui di Putrajaya hari ini.

Maria juga bersetuju agar morotarium (penggantungan sementara) dikenakan ke atas semua undang-undang yang sedang dikaji semula oleh HARAPAN.

"Bukan saja Akta Hasutan, tapi juga Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota), dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca)," katanya.

Lokman sebelum ini membidas HARAPAN kerana berdiam diri berhubung penahanan adiknya dan menyifatkan ia bertentangan dengan reaksi mereka sebelum ini apabila undang-undang sama digunakan ke atas pemimpin parti mereka.

Selain itu, Anggota Parlimen Kepong Lim Lip Eng bersetuju agar morotarium dikenakan ke atas Akta Hasutan.

Lim yang juga merupakan peguam itu turut menggesa agar Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menjelaskan kenapa akta berkenaan terus digunakan.

"Sebarang individu yang melanggar kesalahan perlu dibawa ke mahkamah.

"Ketua polis negara tidak seharusnya menggunakan akta hasutan atau sebarang akta lain yang kini sedang dalam usaha untuk dimansuhkan atau dipinda. Mohamad Fuzi perlu jelaskan kepada rakyat dan kerajaan HARAPAN," kata wakil rakyat DAP itu kepada Malaysiakini.

Selain Azman, aktivis Fadiah Nadwa Fikri dan Asheeq Ali Sethi Alvi juga baru-baru ini disiasat atas dakwaan menghasut.

Terdahulu, Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) menggesa pihak berkuasa membebaskan adik anggota pemimpin Umno itu dan menyifatkan penahanannya sebagai bertentangan dengan semangat Malaysia baru.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS