Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Terengganu larang wanita menari, menyanyi di khalayak
Diterbitkan:  Oct 3, 2018 7:05 PM
Dikemaskini: 11:31 AM

Kerajaan Terengganu dilapor melarang golongan wanita membuat persembahan nyanyian dan tarian di khalayak ramai.

Bagaimanapun, kata exco pelancongan dan kebudayaannya Ariffin Deraman, mereka boleh berbuat demikian sekiranya sesama mereka di tempat tertutup, lapor Utusan Malaysia.

Beliau juga berkata, kaum hawa masih boleh terlibat dalam persembahan pentas berbentuk teater dan kesenian asal tidak melibatkan percampuran terlampau dengan lelaki, di samping mengekalkan ciri kesopanan.

"Tidak semestinya setiap persembahan pentas wanita tidak boleh dilibatkan langsung, misalnya dalam program penutup Karnival Pantai 2018 di Dataran Batu Burok baru-baru ini, ada beberapa wanita berlakon dalam teater, skestsa di samping deklamasi puisi yang dipersembahkan.

"Maksud garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pelancongan negeri malam tadi adalah supaya penganjur dapat memastikan yang tiada percampuran secara berleluasa dalam program mereka," beliau dipetik sebagai berkata.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mesyuarat mingguan exco di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.

Berdasarkan garis panduan itu, dilaporkan juga persembahan kanak-kanak dibenarkan bercampur di antara lelaki dan perempuan di atas pentas.

Menurut Ariffin, garis panduan turut tertakluk kepada masyarakat bukan Islamini, namun kerajaan negeri akan mengambil kira respon setempat di samping keadaan semasa yang ada ketikanya boleh dilonggarkan dengan budi bicara dalam kes-kes tertentu.

Perkara lain dalam garis panduan itu dilaporkan seperti berikut:

  • Muzik yang dipersembahkan tidak boleh diiringi atau dialunkan dengan peralatan bunyian yang melampau sehingga boleh mempengaruhi penonton atau pendengar mengikut rentak.
  • Persembahan muzik dibenarkan selepas waktu Isyak dan tidak melepasi pukul 12 tengah malam, manakala pada waktu siang perlulah tidak melampaui batas waktu solat.
  • Tidak dibenarkan mengadakan persembahan pentas pada hari Khamis malam Jumaat sehingga selepas solat Jumaat hari berikutnya dan penganjur mesti memastikan penonton lelaki dan wanita bukan muhrim tidak bercampur.
  • Persembahan kesenian tradisional berunsurkan pemujaan/menyalahi akidah seperti ulik mayang, rodat/tarian rodat, mak yong, mandi safar (adat), main puteri, tarian saba, tarian balai/pulai tidak dibenarkan melainkan telah dibuat pengubahsuaian yang sepatutnya.

Ariffin juga berkata, jawatankuasa khas bagi membentuk garis panduan lebih khusus sudah dibentuk dan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat.

 

Lihat Komen
ADS