Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Anggota bomba terkorban itu insan mulia'
Diterbitkan:  Oct 4, 2018 3:52 PM
Dikemaskini: 8:00 AM

Syuhada - itu gelaran yang layak diberikan kepada enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang meninggal dunia semasa menjalankan tugas malam tadi, kata mufti Wilayah Persekutuan.

Kata Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad enam anggota JBPM itu yang lemas itu lebih mulia berbanding lima golongan yang dianggap syahid oleh Islam melalui hadis Rasulullah SAW.

Katanya mereka bukan sekadar meninggal dunia kerana lemas, malah terbunuh semasa menolong orang lain.

"Mereka adalah insan-insan terpilih dan mempunyai hati yang suci serta amat memahami tanggungjawab dan tugas yang diamanahkan, terutamanya dalam kecemasan hingga kepada nafas yang terakhir dan denyut nadi yang terakhir.

"Inilah syuhada kita. Semoga Allah menempatkan mereka bersama para nabi, al-siddiqin dan syuhada," katanya melalui hantaran di media sosial.

Malam lebih 10 anggota JBPM dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Kelang, Cyberjaya dan Shah Alam menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki yang dikhuatiri lemas di lombong Taman Putra Perdana di Puchong, Selangor.

Bagaimanapun enam daripada mereka lemas selepas dikatakan terbelit dengan tali yang dipakai semasa menjalankan operasi SAR tersebut.

Jangan berulang lagi

Empat daripada mereka - Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25 dan Yahya Ali, 24, - bertugas di Balai Bomba Pelabuhan Kelang, manakala dua lagi - Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, - dari Shah Alam.

Kata Zulkifli kejadian itu boleh dianggap luar biasa kerana melihatkan semangat ditujukkan anggota terbabit.

Kepada kerajaan, beliau menyarankan agar semua mangsa itu diberi kenaikan pangkat dan anugerah kecemerlangan agar ia dapat memberikan sedikit kelegaan kepada keluarga masing-masing.

"Sesungguhnya, inilah kakitangan kerajaan dan pekerja di era Malaysia baru yang sanggup berkorban apa sahaja," katanya.

Sementara itu Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menganggap anggota yang terbunuh itu sebagai wira yang tidak ternilai jasanya.

Pada masa sama beliau menggesa kerajaan memberi penjelasan agar tragedi seumpama itu tidak berulang.

"Tidak munasabah untuk mencari satu jenazah membawa (kesan) kepada korban enam nyawa yang masih muda dan amat berharga," katanya.

Bagi aktivis masyarakat Kuan Chee Heng dia mencadangkan agar kerajaan memberi pembelaan penuh kepada semua balu dan anak mangsa.

Antara yang dicadangkan Kuan ialah waris anggota JBPM itu diberikan kediaman yang sesuai, tetapi bukanlah setara rumah kos rendah.

Selain itu katanya mereka juga diberikan bantuan modal sekurang-kurangnya RM100,000 untuk membolehkan isteri mangsa menyara hidup selepas ketiadaan suami.

Tidak ketinggalan kata Kuan semua isteri dan anak-anak mangsa diberikan pampasan bulanan, selain bantuan kenderaan yang bersesuaian.

"Sekiranya ada kereta atau motosikal mangsa yang belum diselesaikan hutangnya, kerajaan harus melangsaikan tanggungan itu," katanya.

Menurut Kuan lagi kerajaan juga boleh membantu membayarkan pinjaman yang belum disempurnakan oleh anggota terbabit, selain memberikan biasiswa kepada anak-anak mereka untuk belajar sehingga ke peringkat universiti.

"Ini barulah dinamakan kerajaan prihatin dan kerajaan baru.

"Jangan sesekali kerajaan mendakwa pokai dan biarkan isteri para wira itu dan dan anak-anak mereka merana," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS