Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

WAWANCARA | Kerajaan Johor akan membangunkan ekonomi kreatif dalam usaha memberi nilai tambah kepada bidang itu, sekali gus menyumbang kepada sektor ekonomi konvensional sedia ada.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif Johor, Sheikh Omar Ali, berkata ekonomi kreatif adalah antara portfolio baru di bawahnya, yang akan ditangani sebaik mungkin.

Melalui wawancara bersama Malaysiakini, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh itu berkata bidang tersebut memerlukan kajian mendalam bagi mendapatkan input positif yang akan memanfaatkan rakyat Johor.

Sheikh Omar berkata pihaknya juga akan membuat cetak biru (blueprint) berkaitan industri kreatif Johor dengan menekankan budaya dan kegiatan seni tempatan di negeri itu.

“Filem, muzik, permainan, seni, artis tempatan, komuniti tempatan - industri kreatif itu terlalu luas.

"Jadi apabila tanya apa Johor nak buat dengan sektor ini, saya boleh kata saya ada cita-cita dan sasaran sendiri.

“Sebab tu pada saya blueprint mesti dikeluarkan, dan saya nak dapatkan peruntukan bagi kajian dalam bidang ini,” katanya.

Menurutnya lagi, sebagai langkah permulaan beliau akan mengajurkan Pesta Ayer Hitam Putih pada 26 dan 27 Oktober ini.

Katanya lagi, Johor mempunyai aktivis seni yang berkebolehan dan beliau akan berjumpa mereka bagi mendapatkan pandangan dan mengumpulkan individu berbakat berkaitan industri kreatif.

Beliau juga akan bekerjasama dengan pihak yang berkenaan bagi mengajar penggiat seni tempatan memasarkan produk-produk seni kreatif mereka.

Sheikh Omar juga harap daripada usaha itu, masyarakat dunia akan datang ke Johor untuk mengetahui sesuatu produk serta latar belakangnya, dan bukan sekadar membeli atau mendapatkan produk terbabit saja.

Selain itu, Sheikh Omar berkata apa yang akan dilakukan nanti bukan sahaja mengangkat portfolio berkenaan sebaliknya memajukan juga bandar Ayer Hitam kerana ia terletak di lokasi strategik dan mempunyai potensi besar.

“Antara sebab pesta itu buat di Ayer Hitam ialah kerana kerajaan berpendapat pembangunan Johor tak boleh tertumpu hanya di Wilayah Iskandar dan selatan Johor saja.

“Jadi saya rasa kerajaan negeri kena teroka daerah tengah atau utara Johor. Sebab itu festival pertama ini dibuat di Ayer Hitam - kerana kawasan ini penuh dengan potensi tapi kekurangan visi.

“Ayer Hitam dulu tempat orang buat tembikar, putu bambu, ada balai polis ratusan tahun, ada pembuat barang-barang untuk barongan.

“Banyak potensi, tapi mati begitu sahaja. Tak ada orang yang letakkan visi untuk bangunkan semula Ayer Hitam,” katanya yang menambah Ayer Hitam sangat strategik keranan mempunyai laluan masuk dari Lebuh Raya Utara Selatan.

  • Wawancara ini dijalankan bersama Aedi Asri dan M Fakhrull Halim

Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS