Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Serbuan khalwat: Para mufti berbeza pendapat
Diterbitkan:  Oct 6, 2018 7:01 PM
Dikemaskini: 11:11 AM

Para mufti dari Perak, Pahang dan Negeri Sembilan membantah kenyataan Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Mujahid Yusof Rawa mengenai pihak berkuasa perlu menghentikan operasi serbuan di premis persendirian.

Bagaimanapun, Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor dilaporkan berkata mempertahankan Mujahid.

Bercakap kepada BH Online, Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata Mujahid tidak memiliki kuasa terhadap penguatkuasa agama pada peringkat negeri yang melaporkan kepada jabatan agama Islam di negeri masing-masing.

“Beliau sebenarnya hanya menteri yang menjaga hal ehwal JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), hal-hal agama seperti penguatkuasaan terletak di bawah negeri.

“Sebenarnya pegawai penguatkuasa tidak boleh secara sewenang-wenangnya membuat serbuan atau operasi di rumah persendirian...hanya selepas menerima aduan baharu mereka boleh bertindak,” katanya.

Tanggungjawab pihak berkuasa cegah maksiat

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, dilaporkan bersetuju menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk mencegah maksiat.

"Orang berkhalwat selalunya buat ditempat tertutuplah... Jadi kalau tak boleh tegah biarlah orang buat maksiat, tak perlu undang-undanglah, kita laksanakan undang-undang ini sudah lama, tiada masalah pun.

"Kita yang salah jika kita tidak cegah, kita kena cegah maksiat dimana pun," jelas Harussani dipetik Sinar Harian.

Mujahid dalam wawancara bersama The Star hari ini berkata pihak berkuasa agama tidak patut membuat serbuan bagi mencegah misalnya orang Islam daripada minum arak atau berkhalwat di ruang peribadi mereka.

Walaupun penguatkuasaan serbuan maksiat di bawah bidang kuasa negeri, Mujahid dilaporkan berkata beliau sedang berbincang dengan pihak berkuasa agama negeri untuk melaksanakan dasar persekutuan, Islam membawa rahmat ke seluruh alam.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor pula dipetik BH Online berkata mungkin menteri itu berpendapat sesiapa yang melakukan zina atau khalwat tidak seharusnya diaibkan dengan tindakan penguatkuasaan.

“Malah dalam Islam kita dilarang untuk membuka aib kepada masyarakat. Ini kerana mereka yang melakukannya cuba untuk tidak mendedahkannya.

“Manusia tidak boleh lari daripada melakukan dosa dan ada di antara mereka yang terpaksa melakukannya dan ia dilakukan dalam keadaan tersembunyi. Mungkin itu yang dimaksudkan Mujahid berkenaan tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Beliau memberi contoh kisah Nabi Muhammad SAW yang mana ada sahabatnya yang membuat pengakuan berzina.

"Namun Rasul cuba untuk tidak melayan pengakuan itu dengan mengelak setiap kali dia cuba mengaku.

“Seseorang tidak seharusnya memalukan dirinya dengan mengaku melakukan dosa dan orang lain juga tidak perlu menghebahkannya sekiranya mengetahuinya.

“Sebaliknya sebagai seorang Muslim kita sepatutnya membantu individu itu kembali ke landasan yang betul,” jelas beliau, petik BH Online.

Wan Salim menyarankan penguatkuasa jabatan agama supaya memberi amaran kepada pengusaha hotel untuk melarang pasangan yang belum berkahwin daripada menginap bersama.

Lihat Komen
ADS