Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Mujahid Yusof menyeru hakim syarie agar tidak takut bersuara dan tidak mengikut telunjuk “golongan yang membawa idea-idea ekstrim”.

Beliau berkata demikian ketika menjelaskan kerajaan baharu tidak sekali-kali menutup pintu untuk mengajak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kembali ke jalan yang benar.

"Tuan-tuan (hakim syarie) perlu perjuangkan ini tanpa segan silu. Jangan takut orang panggil tuan-tuan liberal pula.

"Jangan ikut telunjuk golongan yang membawa idea yang ekstrim. Don't let them dictate you, sedangkan anda yang memegang autoriti untuk bercakap hal yang benar.

"Jika tidak, negara akan kacau-bilau. Kalau kita dapat lakukan ini, barulah kita akan bergerak ke depan," katanya dalam majlis di ibu negara di hadapan hakim-hakim syarie dan mufti seluruh Malaysia.

Sementara itu, dalam aspek kehakiman elemen pembalasan dan pemulihan amat penting untuk

mempamerkan Islam bukan agama yang bengis dan suka menjatuhkan hukuman berat semata-mata.
"Ada salah faham apabila kita bawakan dasar rahmatan lil alamin (rahmat pada seluruh alam). Ada yang dakwa kita mesra LGBT, kita ini longgar dan tak berpegang teguh kepada prinsip Islam. Itu adalah kenyataan yang tak tepat.

"Kita tidak terima (LGBT), malah perdana menteri telah menasihati Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) agar tidak melayan hak-hak yang bercanggah dengan fitrah dan kerukunan rumah tangga. Itulah konsistensi kita selama ini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ada faktor yang perlu diambil kira iaitu kehormatan dan keaiban pesalah dan keluarga pesalah.

Mengambil contoh kes sebatan dua wanita di Terengganu yang cuba melakukan hubungan seks sejenis, Mujahid lebih cenderung untuk agar hukuman lebih ringan dikenakan, lebih-lebih ia merupakan kesalahan pertama.

Beliau berkata demikian dalam persidangan meja bulat "Falsafah dan tatacara hukuman jenayah syariah dalam mencapai matlamat rahmatan lil alamin" di Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa Malaysia (IAIS) hari ini.

Mengulas lanjut tentang isu perlaksanaan hukuman dan penguatkuasaan, beliau turut memberitahu bahawa tatacara operasi standard (SOP) dalam perlaksanaan penguatkuasaan perlu ditambah baik.

"SOP yang ada telah sekian lama tak dibincangkan. Kenapa tak boleh bincang, SOP ini maksumkah?

"Tidak, ia terbuka untuk kritikan dan penambahbaikan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS