Paling Popular
Terkini
story images
story images

ULASAN l Ketika kecil, masih segar dalam ingatan, ibu suka mengajak saya ke rumah ketua wanita Umno cawangan kami. Dahulu, kami tinggal di kawasan perumahan kos sederhana rendah, sebelum berpindah beberapa tahun kemudian.

Pada masa itu saya berumur 5 tahun, dididik di salah sebuah sekolah mubaligh Kristian di tengah bandar Johor Bahru. Selalunya mesyuarat wanita-wanita Umno ini panjang dan mengambil masa yang lama.

Banyak kertas, borang dan conteng-contengan pada papan putih kecil di hadapan televisyen ruang tamu. Saya masih kecil dan tidak mengerti, tetapi hanya hadir untuk juadah minum petang yang dihidang ketua wanita Umno cawangan kami. Mee goreng kosong, air sirap sejuk.

Setiap minggu juga, ibu hadir untuk program ‘marhaban’ dari rumah ke rumah. Masih terngiang di dalam telinga, bacaan ratib Al-Attas, berzanji dan selawat-selawat yang dialunkan ibu-ibu tua bertudung labuh merah dan berbaju putih, bersama cermin mata besar, dan bermotor kapcai.

Selepas itu, kami makan dan terus maju ke rumah yang seterusnya. Saya tidak bersekolah agama, namun kitab-kitab jawi berkertas coklat itu saya belek dan lafazkan, untuk cuba bersama mereka memuji Nabi.

Saya diajarkan huruf Jawi oleh seorang ustazah, merangkap ahli wanita Umno cawangan dan ‘tukang baca doa’ di kawasan itu. Beliau lah yang memandikan jenazah penduduk, mengajar mengaji anak-anak taman dan menjadi tempat rujukan bagi masyarakat setempat.

Bibit-bibit awal untuk saya mengenal tuhan, menjadi Melayu dan rakyat Malaysia disumbangkan sedikit sebanyak, oleh wanita-wanita Umno cawangan itu. Ibu sangat selesa tinggal di sana dan bersama mereka, berbanding kawan-kawan ‘Datin’nya kini.

Mungkin juga persekitaran itu mengingatkan ibu kepada situasi kampungnya dahulu. Arwah nenek juga seorang wanita Umno. Isteri kepada seorang Kiai, pembuat kuih terhandal Sungai Kluang Darat.

Tiada lelah mengikut hal-ehwal bangsa, meskipun beliau sibuk membesarkan lapan orang anak-anak yang masih kecil. ‘Baraan’, kenduri-kendarat dan keramaian, semuanya digerakkan oleh geng-geng wanita Umno.

Kuasa memabukkan

Tiada insaf, tiada muhasabah dan renungan yang mendalam. Apa yang didengari adalah tentang kuasa. Bagaimana parti ini memerlukan kuasa untuk hidup dan beramal bakti, serta bagaimana parti ini harus menjual kehormatannya demi kuasa.

Kuasa itu, hakikatnya, adalah memabukkan dan dengan kuasa jugalah, ia telah menggelincirkan Adam AS serta Hawa dari Syurga. Dengan anggapan bahawa sesuatu itu boleh kekal dan dengan kuasa, kekekalan itu boleh digarap dengan mudah. Yang demikian adalah sifat azali manusia tentang kuasa dan kekuasaan, yang perlu direnung Umno kini.

Masakan orang yang sudah terbiasa dimabukkan dengan nikmat kuasa boleh sedar daripada keasyikannya? Seakan nasib Umno sekarang, hanya segelintir sahaja yang sedar tentang hakikat sebenar semasa, dan apa yang boleh mereka lakukan untuk parti serta bangsa. Ya, untuk bangsa.

Bukan untuk kuasa atau tembolok sendiri. Untuk mendidik orang Melayu dan memimpinnya, seupaya ikhlas. Itu adalah takrif sebenar-benar ‘politik amal bakti’ Ada daripada perwakilan yang tersalah erti takrif demikian, bagi mengabsahkan andaian “Umno harus kembali ‘berkuasa’ walaupun melalui jalan belakang”.

Kelompok ini berkata, bagaimana Umno boleh memberi amal dan bakti kepada bangsa jika mereka tiada kuasa, wang dan pengaruh?

Politik memberi bakul-bakul beras, paket-paket gula dan minyak masak cap Helang sudah berakhir bagi Umno. Mungkin boleh dilakukan untuk kawasan-kawasan tertentu, namun yang paling utama, adalah untuk parti itu membangkitkan kembali roh serta semangat orang Melayu.

Orang Melayu harus bangga menjadi Melayu, harus berilmu di dalam pelbagai bidang dan harus mengetuai.

Bangsa harus tahu dan sedar akan hakikat keadilan, hak asasi manusiawi dan berfikiran demokratik. Maka tiada jumlah bakul beras, gula dan minyak yang boleh mendidik ‘politik amal bakti’ seakan itu, iaitu politik yang mengupayakan bangsa.

Namun, tiada saya dengar tentang politik yang demikian, melainkan begitu sedikit pada Perhimpunan Agung Umno 2018 yang lalu.

Umno dinodai

Takrif sebenar ‘politik amal bakti’ di atas, jika ingin disahut, memerlukan pimpinan Umno yang berilmu, minat akan ilmu dan tidak megah diri. Tidak berkepentingan yang melebihi kepentingan bangsa sendiri.

Amat luluh hati mereka yang terdahulu, bila melihat parti sudah kehilangan ikhlasnya. Telah dinodai alunan selawat dan berzanji dengan teriakan ‘Hidup Melayu’ yang tidak berisi, untuk mengekalkan hegemoni kelangsungan pemikiran dan kuasa pemimpin tertentu.

Telah dinodai keringat seorang Kiai mendidik bangsa, yang telah diganti sanadnya dengan wang dan pangkat sebagai habuan akhir usaha. Tidak terperanjatlah, jika Umno hilang amanahnya.

Jika parti dan ahli-ahlinya tidak mampu menggalas usaha pencerahan bangsa, maka rugilah akar umbi seperti yang saya tuliskan sebelum ini; disisih, diperbodohkan dan diperguna Sang Saka Bangsa yang tamakkan kuasa.


ABDULLAH AFIQ adalah seorang penyelidik di Bait Al Amanah.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS