Ku Li kecewa ada tokoh takut hadiri Kongres Kepentingan Bangsa
Bekas Naib Presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah kecewa kerana ramai pemimpin dan tokoh akademik Melayu yang tidak menghadiri Kongres Kepentingan Bangsa hari ini untuk membincangkan masa depan orang Melayu di negara ini.
Bekas Naib Presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah kecewa kerana ramai pemimpin dan tokoh akademik Melayu yang tidak menghadiri Kongres Kepentingan Bangsa hari ini untuk membincangkan masa depan orang Melayu di negara ini.
Katanya, mereka ini pada mulanya setuju untuk menghadiri kongres dua hari itu, tetapi tidak muncul hari ini kerana adanya tekanan dan takut dilabelkan sebagai 'orang tertentu'.
"Cuba lihat persidangan anjuran Dong Jiao Zong (DJZ) baru-baru ini yang dihadiri oleh 600 badan bukan kerajaan (NGO) serta lebih 4,000 individu sebagai tanda bersatu dalam isu yang mereka perjuangkan," kata beliau yang juga pengerusi kongres tersebut.
Persidangan anjuran DJZ itu diadakan bagi menyatakan bantahan masyarakat pelbagai kaum terhadap dasar pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris di semua sekolah rendah.
Bagaimanapun, Tengku Razaleigh berkata, hanya seratus sahaja NGO Melayu yang hadir di kongres tersebut yang bertemakan 'Gagasan survival bangsa: Menebus kehilangan, mengisi masa depan'.
Dianggarkan kira-kira 1,000 orang menghadiri kongres berkenaan yang dirasmikan sendiri oleh Tengku Razaleigh di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Antara yang hadir ialah tokoh pendidikan dan politik termasuk Tan Sri Ainuddin Wahid, Tan Sri Arshad Ayob. Datuk Dr Hassan Ahmad, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin serta Datuk Paduka Ibrahim Ali. Wakil-wakil dari Umno, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta dari badan bukan kerajaan (NGO) hadir sama.
'Melayu mesti berani'
Kongres itu turut membincangkan pelbagai isu berkaitan orang Melayu, terutama penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Matematik dan Sains di sekolah kebangsaan.
Sehubungan itu, Tengku Razaleigh yang juga ahli Parlimen Gua Musang, menggajak orang Melayu supaya berdikari dan berani untuk menentukan masa depan mereka sendiri dan tidak terlalu bergantung kepada kerajaan.
Ketika ditemui kemudiannya di majlis tersebut, beliau berkata orang Melayu terlalu penakut sehingga tidak mampu untuk menentukan masa depan sendiri dan ini menyebabkan mereka menyandarkan harapan kepada orang lain.
"Bukan sahaja rakyat takut, tetapi pemimpin juga takut berjuang mempertahankan hak mereka kerana bimbang mereka tidak mendapat jawatan dan kontrak," katanya.
"Saya tidak tahu apa akan berlaku kepada orang Melayu 50 tahun akan datang jika mereka terlalu mengharapkan orang lain termasuk kerajaan," katanya.
Sementara itu dalam sidang pleno, tokoh pendidikan negara, Datuk Omar Mohd Hashim berkata, masa depan orang Melayu ada hubungkaitnya dengan pendidikan mereka.
Katanya, sekolah kebangsaan yang menjadi tumpuan pelajar Melayu, terutama di kawasan luar bandar sangat daif jika dibandingkan dengan sekolah persendirian Cina.
Status sekolah kebangsaan
Oleh itu, katanya kerajaan perlu membentuk satu suruhanjaya bagi mengkaji status sekolah kebangsaan berkenaan.
"Sekolah ini perlu mendapat kemudahan, peralatan, guru yang terbaik serta bantuan kewangan yang mencukupi untuk melahirkan pelajar Melayu yang cemerlang," katanya.
Omar juga menggesa kerajaan mengurangkan birokrasi pendidikan dan memberi kuasa kepada guru tanpa gangguan dalam menjalankan tugas mereka.
Sementara itu, pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr Shahril Mohd Zain menolak dakwaan bahawa bahasa Inggeris (BI) adalah bahasa ilmu dan bahasa kejayaan.
"Sembilan puluh peratus pemenang Hadiah Nobel adalah dalam bahasa ibunda dengan majoritinya bahasa Perancis, Jerman dan Russia," katanya.
Penyelidikan oleh Kerajaan Singapura pada tahun 1990-an mendapati penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan mereka cuma berjaya menyerlahkan 40 peratus kejayaan pelajar mereka, katanya.
"Kalau sistem bahasa Inggeris Singapura bagus, siapakah ahli sains keturunan Melayu yang lahir di republik itu," tanyanya.
Dr Shahril berkata, pemimpin negara memandang rendah kepada Korea Selatan dan Jepun kerana mereka tidak menggunakan bahasa Inggeris.
Katanya, rakyat pula selalu beranggapan jika seseorang pengurus syarikat tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik, mereka mereka tidak cekap dan tidak berjaya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.