Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Mohd Amar: K'jaan negeri tak halau Universiti Malaya keluar dari Kelantan

Kerajaan negeri Kelantan menegaskan pihaknya tidak berhasrat untuk menghalau Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Kampus Nilam Puri di Kota Bharu keluar daripada negeri itu.

Sebaliknya, kata Timbalan Menteri Besarnya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, bangunan dan tanah yang disewa oleh pusat pengajian tinggi awam (IPTA) itu ditamatkan kontrak perjanjian sewaan untuk keperluan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

Malah menurutnya, dalam perundingan antara kedua-dua pihak, Universiti Malaya diminta supaya mencadangkan lokasi bagi penempatan baru pusat pengajian berkenaan.

"Mereka minta kita sediakan kawasan lain di Kelantan, supaya kerajaan negeri menyediakan satu tapak baru. Jadi saya bagitahu supaya mereka hantar surat rasmi kepada kerajaan negeri dan cadangkan mana-mana kawasan yang dirasakan sesuai.

"Mereka kena cari kawasan mana yang dirasakan sesuai untuk mereka duduki dan Insya-Allah kita pertimbangkan," katanya kepada media ketika ditemui selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung keputusan KIAS Sdn Bhd menamatkan kontrak perjanjian sewaan dengan Universiti Malaya seperti dilaporkan Malaysiakini, 4 Oktober lalu.

Isu susulan satu notis bertarikh 3 Julai lalu diterima oleh pihak pengurusan Universiti Malaya yang meminta supaya Akademi Pengajian Islam universiti itu dapat mengosongkan premis berkenaan dalam tempoh lima bulan.

Pengosongan itu bertujuan bagi memberi laluan kepada proses naik taraf KIAS kepada sebuah kolej univeristi sekali gus memerlukan infrastruktur yang lebih sempurna dan lengkap.

Sementara itu, Mohd Amar yang juga anggota dewan undangan negeri (ADUN) Panchor berkata, kerajaan negeri mempunyai rekod beberapa kawasan yang sesuai untuk menempatkan pusat pengajian itu.

Namun katanya, pihak Universiti Malaya terlebih dahulu perlu mengemukakan cadangan yang difikirkan sesuai untuk mereka beroperasi.

"Kita ada rekod beberapa kawasan yang sesuai tetapi kita nak tahu dulu di pihak mereka mahu kawasan mana. Kemudian kita sesuaikan pula dengan cadangan kita.

"Dalam isu ini ramai yang silap faham kata kita nak halau Universiti Malaya keluar daripada Kelantan, kita pun suka Universiti Malaya kekal di Kelantan. Ia satu nilai tambah dalam hasrat kita menjadikan Kelantan sebagai hub pendidikan," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS