Paling Popular
Terkini

Pengarah Urusan, Khazanah Nasional Bhd Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata dana syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLC) itu adalah dana awam.

"Benar (ia dana awam). Aset itu adalah untuk negara.

"Peranan utama Khazanah dari segi komersial adalah untuk mengembangkan dana dan aset itu untuk manfaat rakyat Malaysia," katanya ketika ditemui di program China Conference di Kuala Lumpur hari ini.

Berhubung kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini bahawa "Khazanah bukan kerajaan tapi syarikat yang bebas untuk menjalankan perniagaan," Shahril berkata Khazanah mempunyai objektif komersial dan strategik.

"Dari segi komersial Khazanah mempunyai banyak persamaan dengan penyiasat persendirian yang mencari pulangan jangka panjang. Dari segi strategik, kita membantu kerajaan dari segi pembangunan dan keupayaan membangun.

"Khazanah adalah syarikat yang unik - mempunyai dua fungsi - satu untuk pelaburan komersial untuk pulangan kepada negara dan satu lagi untuk pembangunan," katanya.

Tambah Shahril, Khazanah merupakan syarikat swasta yang dikorporatkan oleh kerajaan.

"Khazanah merupakan syarikat swasta. Cuma kebetulan ia dimiliki kerajaan. Ia adalah pengurus dana yang diamanahkan kepada Khazanah.

"Namun cara kami mengurus dana itu, seperti saya katakan sebelum ini, kami mempunyai dua tumpuan - komersial dan strategik," katanya.

Dr Mahathir sebelum ini membuat kenyataan berhubung kereta nasional ketiga susulan pengumuman bahawa Siltera, yang dimiliki sepenuhnya oleh Khazanah, merupakan salah satu syarikat yang disenarai pendek bagi projek berkenaan.

Ia kemudian menimbulkan kritikan beberapa pihak yang mengingatkan ikrar kerajaan untuk tidak menggunakan dana awam untuk projek yang dicadangkan Dr Mahathir.

Proses biasa penstrukturan semula

Sementara itu, Shahril juga mengulas cadangan untuk mencairkan aset Khazanah bagi membantu kerajaan menguruskan hutang yang diwarisi daripada kerajaan lama.

Menegaskan langkah berkenaan bukan sebagai 'firesale', Shahril berkata: "Apa yang kita lakukan adalah proses biasa seperti mana-mana pengurus dana - menstrukturkan semula portfolio dan itu sering dilakukan."

"Jika anda lihat sama ada Tabung Haji, Permodalan Nasional Bhd (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah - kita memang cenderung untuk menjual aset dan membeli aset baru pada masa yang sama.

"Ia cuma merupakan sebahagian proses biasa menguruskan Khazanah," katanya.

Diminta mengulas sama ada langkah itu adalah untuk membantu kerajaan itu, beliau berkata: "Tak sangat, ia merupakan sebahagian penstrukturan portfolio biasa."

Awal hari ini, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan kebimbangan berhubung langkah untuk menjual tanah dan aset kerajaan.

Najib mengulangi pendiriannya bahawa hutang negara bukan RM1 trilion seperti yang didakwa oleh pemimpin Pakatan Harapan dan menyalahkan kerajaan berhubung pendekatan populis yang diambil bagi mengatasi masalah kewangan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS