Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pusat pelupusan sampah Bukit Payong didakwa ancam tapak warisan

Projek pusat pelupusan sampah Bukit Payong di Johor yang kini ditangguhkan akibat tentangan penduduk setempat didakwa sebenarnya menempatkan pelbagai tapak warisan yang pasti akan musnah jika projek tersebut diteruskan.

Pengkaji sejarah dan aktivis masyarakat Mohd Azlan Mohd Sharif mendakwa, ada fosil tumbuhan yang dijangkakan berusia jutaan tahun ditemukan di kawasan itu.

"Di timur tapak projek itu ialah Bukit Belah di mana pernah ditemukan himpunan fosil tumbuhan oleh S Norizan Yaacub dan arwah Dr Uyop Said dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada awal 2000.

"Fosil itu terawet elok daripada jujukan batuan di Bukit Belah, Batu Pahat, Johor, dan dijangkakan dari zaman Jura akhir hingga zaman Kapur awal (kira-kira jutaan tahun dahulu).

"Agak mengejutkan jika Jabatan Mineral Dan Geosains (JMG) Negeri Johor, Jabatan Geologi UKM, Jabatan Geologi Universiti Malaya dan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia tidak mengkaji lokasi ini di mana berpotensi menemui lebih banyak fosil pada masa hadapan," katanya dalam satu tulisan kepada Malaysiakini.

Dalam tulisan itu, beliau turut meluahkan rasa kecewa apabila lokasi penemuan Batu Aceh di Bukit Payong juga tidak diberi perhatian apabila tiada papan tanda sejarah dipasang sejak sekian lama.

"Di utara tapak projek itu adalah kawasan pemakaman Bukit Inas di mana pernah ditemukan lapan batu Aceh berusia di antara 500 hingga 600 tahun di situ. Kewujudan batu ini ada direkodkan di dalam buku Batu Aceh Warisan Sejarah Johor terbitan Yayasan Warisan Johor (YWJ) pada tahun 1999.

"Malangnya ia seolah-olah tidak penting kepada Pejabat Daerah Batu Pahat, Majlis Daerah Yong Peng (MDYP), YWJ dan pembuat dasar yang lain," katanya.

Selain itu, projek pelupusan itu juga bakal mengancam alam sekitar di kawasan tersebut.

"Di barat tapak itu ada air terjun Sungai Purun yang merupakan satu-satunya air terjun semula jadi di Batu Pahat. Laluan untuk ke situ harus melalui tapak projek sampah itu.

"Di barat laut pula ada Hutan Simpan Kekal Bukit Payung yang diwartakan yang merupakan destinasi penting bagi pendaki bukit, manakala di timur laut ialah puncak Bukit Payong yang menjadi destinasi pendaki dalam dalam luar negara," katanya lagi.

Justeru, beliau memohon agar Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian dapat turun padang meninjau kawasan tersebut dan memintanya membatalkan projek pelupusan sampah Bukit Payong atau dipindahkan ke kawasan lain yang tidak akan menjejaskan warisan sejarah.

"Ancaman warisan di Batu Pahat akibat projek di Bukit Payong ini bukan mitos, sedangkan ia mempunyai potensi industri pelancongan dan pelaburan dari luar khususnya Jepun dan British. Saya menawarkan diri membantu kerajaan negeri Johor jika diperlukan," tambahnya.

Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Payong yang menelan kos pembinaan RM58.66 juta dibina berikutan pusat pelupusan sampah sedia ada di beberapa lokasi berhampiran sudah mencapai tahap maksimum dan kritikal serta bakal ditutup.

Projek di atas tanah seluas 42.18 hektar itu sudah beberapa kali tertangguh berikutan bantahan penduduk yang bimbang dengan faktor pencemaran bau dan air serta jalan yang bakal digunakan lori pengangkut sampah dengan kerap.

Usaha bagi mendapatkan maklum balas dari Bahagian Daftar Warisan berkenaan hal ini sedang dilakukan dan sedang menunggu balasan daripada pihak mereka.

Lihat Komen
ADS