Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MMC-Gamuda ajak kerajaan sambung rundingan MRT2
Diterbitkan:  Oct 10, 2018 9:49 PM
Dikemaskini: 1:52 PM

Rakan pelaksana projek Transit Aliran Massa 2 (MRT2), MMC-Gamuda, menggesa kerajaan menjempit mereka kembali ke meja perundingan bagi mengkaji semula kaedah bagaimana penamatan projek terowong bawah tanah itu boleh ditangani dengan lebih lanjut.

Dalam satu kenyataan hari ini MMC-Gamuda berkata mereka menyambut baik keputusan kerajaan diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu mengkaji semula projek berkenaan.

Pada masa sama kata syarikat terbabit mereka komited untuk terus membincangkan langkah mengurangkan kos projek berkenaan dan bekerjasama dengan Kementerian Kewangan.

"Curahan hati oleh kakitangan MMC-Gamuda sejak 48 jam lepas adalah jujur dan datang dari hati mereka sendiri.

"Berdasarkan pengumuman mengenai penamatan kontrak pembinaan terowong bawah tanah MRT2 baru-baru ini kami faham reaksi dan situasi mereka.

"Justeru kami menggesa semua pemegang taruh terutama kakitangan kami, subkontraktor dan para pembekal semua supaya tetap bertenang, bersabar dan memberikan kepercayaan kepada perdana menteri menjalankan proses semakan itu," kata kenyataan tersebut.

Pada Isnin lalu MMC-Gamuda berkata penamatan kontrak mereka untuk membina terowong bawah tanah bagi sebahagian daripada laluan projek MRT2 - bernilai RM16.71 bilion - menyebabkan kira-kira 20,000 orang kehilangan pekerjaan.

Mereka, katanya, melibatkan rantaian kakitangan lebih 600 syarikat tempatan serta mendedahkan firma berkenaan kepada lambakan saman pekerja yang diberhentukan, subkontraktor, pembekal dan pengilang.

Satu petisyen dalam talian untuk mendesak projek itu diteruskan juga dilancarkan dan setakat petang tadi mendapat sokongan lebih 27,000 nama.

Dalam kenyataan sama MMC-Gamuda juga menggesa rundingan semula dengan kerajaan dijalankan bagi membincangkan proses penilaian semula projek terbabit.

"Kami bersikap terbuka dengan pelantikan firma perunding kejuruteraan antarabangsa yang mempunyai pengalaman yang diperlukan dan rekod pencapaian menilai kerja pembinaan terowong di seluruh dunia, justeru mereka berada dalam kedudukan terbaik untuk menyemak semula di mana penjimatan boleh didapati.

"Permintaan kami sebagai balasan kepada pendekatan terbuka itu ialah supaya adalah hak-hak harta intelektual dan maklumat komersial sensitif kami dihormati dengan sewajarnya oleh firma perunding kajian tersebut serta semua pihak yang terlibat semasa proses semakan.

"Oleh itu, MMC-Gamuda menyerahkan perkara itu kepada pertimbangan perdana menteri," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS