Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bumiputera paling khuatir ekonomi negara - MTEM
Diterbitkan:  Oct 11, 2018 2:51 PM
Dikemaskini: 7:27 AM

Skor keyakinan rakyat terhadap ekonomi negara menurun sebanyak 2.7 mata kepada 36.6 mata untuk suku ketiga tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman.

Menurut Ahmad Yazid, hasil kajian bersama dijalankan MTEM dan Kajidata Research Sdn Bhd mendapati Bumiputera dan golongan berpendapatan rendah mengalami penurunan keyakinan terbesar berbanding kaum lain dan mereka yang berpendapatan tinggi.

Katanya, penurunan keyakinan itu dikaitkan dengan perubahan negatif beberapa indikator ekonomi seperti kelemahan Ringgit, pelaksanaan Cukai Barangan dan Jualan (SST) dan pengumuman hutang negara berjumlah RM1 trilion.

"Golongan Bumiputera mengalami penurunan keyakinan ekonomi yang terbesar sebanyak 3.4 mata (40.7 ke 37.3 mata).

"Golongan Cina hanya turun sebanyak 1.4 mata (35.6 ke 34.2 mata) dan India pula sebanyak 2.0 mata (41.8 ke 39.8 mata)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam soal masa depan ekonomi negara, katanya, etnik Bumiputera menunjukan kegusaran dengan penurunan keyakinan sebanyak 11 mata kepada 43.3 mata pada suku kedua berbanding etnik Cina dan India yang menurun sebanyak 7.5 mata dalam tempoh sama.

Ekoran keyakinan ekonomi golongan berpendapatan rendah yang menurun pada paras yang rendah, MTEM berharap bajet yang akan dibentangkan di parlimen November ini akan lebih bersifat mesra rakyat.

Ahmad Yazid menggariskan tiga langkah yang boleh diambil kerajaan dalam mengurangkan beban ekonomi yang ditanggung golongan kurang berkemampuan.

Langkah itu antaranya meningkatkan pengagihan gaji dalam ekonomi negara yang mana ketika ini 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah disebabkan oleh kekayaan syarikat manakala hanya 35 peratus adalah hasil gaji yang diterima pekerja.

Pihaknya turut mencadangkan Bantuan Sara Hidup dinaikkan secara berperingkat serta bebas unsur politik bagi memberi lebih banyak manfaat kepada golongan berpendapatan rendah.

Selain itu MTEM juga meminta supaya nilai perolehan kontraktor bumiputera yang layak dan masih bergantung kepada sektor awam dinaikkan.

Bagaimanapun katanya, ada beberapa indikator ekonomi lebih positif seperti harga petrol RON95 yang dikekalkan pada harga RM2.20 seliter, indeks Bursa Malaysia yang meningkat dan pertumbuhan perbelanjaan swasta pada suku kedua.

Lihat Komen
ADS