Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak mengeluarkan sebarang permit untuk penganjuran pesta arak ‘Oktoberfest 2018’ yang dijadualkan berlangsung hari ini, kata Datuk Bandar, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.
Nor Hisham berkata sehingga kini DBKL tidak menerima sebarang permohonan permit untuk penganjuran pesta berkenaan.
“Kita tidak terima apa-apa permohonan untuk tujuan itu setakat ini. Bagaimanapun acara itu boleh diteruskan jika ia diadakan secara tertutup dan selagi tidak melanggar undang-undang.
“Kalau ia (Oktoberfest) dilakukan dalam premis itu sendiri (kedai arak) dan tidak dibawa keluar, tiada mabuk dan sebagainya, tidak mengapa. Tetapi kalau dibuat secara besar-besaran dengan mempamerkan papan iklan untuk pesta itu, memang DBKL akan turunkannya serta-merta,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Konvesyen Komuniti Strata Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata pesta arak “Oktoberfest 2018” boleh dianjurkan jika pihak penganjur mematuhi semua garis panduan ditetapkan DBKL.
Sementara itu, Nor Hisham berkata konvensyen strata itu bertujuan memberi makluman dan bantuan kepada pemilik dan pengurusan bangunan untuk mendapatkan hakmilik strata yang mana pemajunya telah digulungkan.
“Pembangunan pemajuan berstrata pada awalnya memang tidak mempunyai masalah sekiranya pemaju menjalankan tanggungjawab membuat permohonan strata ke Pejabat Tanah dan Galian (PTG).
“Namun, apabila mereka telah digulungkan dan mempunyai hutang yang banyak, kawasan pemajuan yang dibangunkan akan mempunyai masalah untuk memperoleh hakmilik strata,” katanya.
Oleh itu, katanya, DBKL melalui Bahagian Pesuruhjaya Bangunan (COB) menyemak dan menjejaki kawasan bermasalah itu untuk dipulihkan dan seterusnya membantu pihak pengurusan mendapatkan hakmilik strata.
-- BERNAMA
