Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Cukai keuntungan saham lebih adil dari cukai GST’
Diterbitkan:  Oct 11, 2018 3:54 PM
Dikemaskini: 8:10 AM

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli hari ini tampil menjawap amaran oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak kepada kerajaan bahawa pelaksanaan cukai keuntungan modal (capital gains tax ataupun CGT) ke atas jual beli saham mempunyai impak negatif jangka panjang.

“Saya tidak tahu cukai baru apa yg akan diperkenal. Saya telah menulis Bajet Alternatif dari 2011 dan mencadangkan keuntungan saham dicukai menggunakan CGT.

“Mencukai keuntungan saham itu lebih adil dari mencukai GST,” ciapnya di Twitter petang ini.

Menurut bekas anggota parlimen PKR itu, sekarang ini, para pelabur, institusi kewangan - yang menguruskan dana bagi pendana dunia yang kaya-kaya - membuat untung dengan menjual beli saham tanpa perlu bayar cukai.

“Saya tidak pasti berapa kutipan cukai baru dari mencukai keuntungan saham ini, tetapi secara prinsipnya keuntungan seperti ini perlu dicukai,” katanya.

GST diperkenalkan oleh pentadbiran kerajaan BN sebelum ini dan telah digantikan dengan SST oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Dalam hantaranya di Facebook pagi ini, Najib berkata mengenakan CGT ke atas urusan jual beli saham akan mendorong pelabur asing dan domestik ke pasaran lain, yang tidak mengenakan sebarang cukai.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mahathir turut menggesa rakyat supaya bersiap-sedia untuk berkorban dengan pelaksanaan beberapa cukai baru.

Berikutan itu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng memperingatkan pelabur supaya menjangkakan belanjawan 2019 dan langkah fiskal kerajaan yang “sakit” dan memerlukan “pengorbanan”.

Tanpa menyebut CGT, meskipun beberapa artikel berita melaporkan bahawa ia akan menjadi langkah yang baik untuk menjana pendapatan negara.

Lihat Komen
ADS