Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar tak bermatian-matian kempen kalau kajian IDE tepat - PAS

PRK PD | Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata kaji selidik yang dijalankan Institut Darul Ehsan (IDE) berhubung pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson tidak semestinya tepat dan boleh dipersoalkan.

Jelasnya, jika kajian badan pemikir negeri Selangor itu tepat, calon Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu bermati-matian berkempen hingga ke saat akhir.

“Tapi tadi masa saya dalam perjalanan ke sini (markas induk PAS) saya nampak Anwar sedang kempen di kedai kopi.

"Kalau dia yakin dia akan menang berdasarkan kajian IDE kenapa sehingga saat akhir kena kempen teruk-teruk macam ini.

“(Calon bebas) Stevie Chan pun tak kempen macam Anwar,” kata Takiyuddin dalam sidang akhbar di markas induk PAS bagi PRK parlimen itu di Port Dickson hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas hasil kajian IDE yang menyatakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkemungkinan akan memenangi PRK Port Dickson dengan jumlah undi yang tinggi.

IDE menerusi timbalan pengerusinya, Datuk Redzuan Othman pada satu taklimat di Port Dickson semalam bagaimanapun berkata majoriti itu sukar ditentukan kerana ia bergantung kepada jumlah pengundi yang akan keluar mengundi.

Kaji selidik IDE itu dibuat ke atas 1,084 pengundi di Port Dickson yang dijalankan antara 8 hingga 9 Oktober, dengan 74 peratus responden berkata mereka akan mengundi Anwar.

Sementara itu, Takiyuddin yang juga anggota parlimen Kota Bharu turut menyifatkan IDE sebagai "adik-beradik" dengan Invoke Malaysia, sebuah badan kaji selidik yang diasaskan bekas anggota parlimen Pandan Rafizi Ramli.

“Kita kenal siapa IDE ini, siapa orang belakang IDE ini pun kita kenal dan kita amat arif dengannya.

“Tetapi bagi saya apa yang dibuat itu apa yang boleh dipersoalkan, lebih-lebih lagi beliau mengatakan Saiful Bukhari mendapat kosong undian, ada ke calon pilihan raya dapat kosong?

“Ini lebih kurang Invoke lah dulu, Invoke dulu mengatakan PAS dalam PRU ke-14 kosong kerusi tapi akhirnya PAS mendapat 18 kerusi Parlimen dan 90 kerusi DUN. Boleh dikatakan IDE ini adik beradik dengan Invoke lah,” katanya.

Pada PRU 9 Mei lalu, ramalan Invoke bahawa PAS akan tewas di semua kerusi Parlimen dan DUN yang ditandingi tersasar.

Malah, PAS bukan saja berjaya mempertahankan Kelantan, tapi juga dapat menawan Terengganu.

Bagaimanapun, ramalan Invoke tepat bagi 5 negeri yang ditawan HARAPAN iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Johor dan Perak.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad mengingatkan agar hasil kaji selidik IDE itu tidak boleh diambil mudah.

“Tapi kalau kita lihat kalau semua penyokong HARAPAN akan sokong Anwar, itu kita tidak boleh ambil mudah. 

“Bermakna bila dia kata dia akan jadi perdana menteri, jangan ambil mudah yang orang HARAPAN akan sokong dia,” katanya.

Lihat Komen
ADS