Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penjelasan berkaitan lantikan Muhammad Nur Manuty di Unisza

ULASAN | Perlu dijelaskan bahawa selain Prof Madya Datuk Dr Muhammad Nur Manuty yang dilantik sebagai pengerusi lembaga pengarah Unisza, Tan Sri Tony Fernandes dan Dr Zaharuddin Abd Rahman juga dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Unisza.

Ketiga-tiga mereka mempunyai kelayakan yang tersendiri. Pelantikan ini perlu dilihat secara kolektif dan bukan individu. Mereka akan bersama-sama dalam proses membuat keputusan.

Lantikan politik tidak seharusnya menenggelamkan pertimbangan yang lebih utama, iaitu kredibiliti dan integriti. Walaupun Datuk Dr Muhammad Nur Manuty ialah orang politik (yang bakal bersara), beliau mempunyai kelayakan akademik yang setara untuk menjawat jawatan tersebut. Bahkan beliau dilihat sebagai seorang ahli akademik dan cendekiawan berbanding ahli politik.

Beliau memulakan pelajaran beliau di Kolej Islam Malaya (1970) di Klang, Selangor. Kemudian melanjutkan pengajian Sarjana Muda Pendidikan Islam dalam bidang Usuluddin dan Falsafah, UKM pada tahun 1970-74.

Beliau menyambung pelajaran MA & PhD di Universiti Temple Amerika Syarikat (1978-1987) dalam bidang pemikiran Islam dan perbandingan agama. Kajian beliau diselia oleh Almarhum Prof Isma’il Raji al-Faruqi.

Beliau juga merupakan bekas pensyarah di Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, UKM. Juga Pensyarah Kanan dan Profesor Madya di Jabatan Usuluddin & Perbandingan Agama, UIAM (1983-1999).

Beliau menjadi Pensyarah Pelawat di Institut Pendidikan Tinggi Markfield (MHE), Islamic Foundation, Leceister UK (2005).

Beliau juga merupakan Fellow Kanan Akademik, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Bandar Putra, Bangi, Selangor (2008-2012).

Beliau pernah menjadi Dekan di Jabatan Hal Ehwal Pelajar, dan Dekan di Pusat Pengajian Lanjutan & Khidmat Masyarakat, UIAM (1990-95).

Dari sudut aktiviti sosial pula, beliau merupakan bekas presiden ABIM, bekas timbalan presiden WADAH, bekas ahli lembaga pengarah IKIM dan ahli majlis syura kerajaan negeri Pulau Pinang.

Di Dewan Negara, beliau antara senator yang sangat peka dan banyak mengutarakan isu-isu berkaitan pendidikan. Minat beliau terhadap pendidikan sangat tinggi dan perlu diberi ruang setanding dengan tahap pendidikan dan pemikiran beliau.

Sebagai orang yang sangat berpengalaman dalam dunia akademik dan orang lama dalam politik, beliau mempunyai teras yang kukuh dalam usaha untuk memperdayakan universiti tempatan.

Beliau juga tidak dinafikan dari sudut kredibiliti, kelayakan akademik, integriti dan juga kompetensi. Inilah yang menjadi ciri-ciri utama lantikan beliau. Sentimen lantikan politik pula terlalu picis dan tak wajar dijadikan keutamaan sehingga menenggelamkan kelayakan beliau yang lain.

Dalam masa yang sama, usah biarkan sentimen “lantikan politik” ini memadamkan sudut pandang yang lebih luas di dalam melihat keseluruhan ahli LPU yang dilantik. Jangan lupa kepada pelantikan Tony Fernandes yang bakal membawa UniSZA kedepan di dalam melahirkan graduan-graduan yang kebolehpasarannya tinggi.

Begitu juga dengan pelantikan Ustaz Dr Zaharuddin Abd Rahman yang tidak dinafikan lagi ketokohan beliau khususnya di dalam bidang agama. Kesatuan ini; Prof Madya Dato’ Dr Muhammad Nur Manuty, Tony Fernandes dan Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman bersama-sama dengan ahli lembaga pengarah yang lain akan mencipta kekuatan yang tersendiri di dalam memacu pergerakan UniSZA sebagai sebuah IPT yang perlu diberikan perhatian dan ruang.


SHAHRUL AMAN MOHD SAARI ialah setiausaha Akhbar kepada menteri pendidikan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS