Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Fuziah tarik diri jawatankuasa kaji semula Lynas
Diterbitkan:  Oct 12, 2018 4:51 PM
Dikemaskini: 8:55 AM

Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh hari ini mengambil keputusan menarik diri daripada mengetuai jawatankuasa mengkaji semula aspek penetapan syarat dan operasi kilang memproses nadir bumi Lynas Corporation Ltd (Lynas).

Katanya keputusan itu sudah dimaklumkan kabinet Selasa lepas setelah membuat pertimbangan sewajarnya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata tindakannya itu juga bertujuan mengelak peranannya dipertikai jika timbul perkara berbangkit di hari kemudian, dan beliau lebih selesa menyuarakan sebarang permasalahan mengenai kilang itu sebagai wakil rakyat.

"Jika saya berada dalam jawatankuasa itu saya tidak boleh beri komen kepada media dan orang awam kerana mereka akan persoalkan saya nanti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Usahawan Asnaf Negeri Pahang di Dataran Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di Kuantan, hari ini.

”Apabila saya bukan lagi pengerusi jawatankuasa itu, maka lebih mudah untuk saya membuat sebarang komen," tambahnya.

Nasib 600,000 penduduk Kuantan

Ditanya siapa yang akan menggantikan beliau dalam jawatankuasa itu, Fuziah berkata Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin akan membuat pengumuman mengenainya tidak lama lagi.

Mengulas mengenai perhimpunan aman oleh lebih 1,000 pekerja Lynas dan anggota keluarga mereka Sabtu lalu, Fuziah berkata pengurusan Lynas pula tidak menyentuh mengenai nasib 600,000 penduduk daerah berkenaan.

Katanya pengurusan dari Australia itu hanya memaklumkan syarikat mereka selamat dan beroperasi dalam kadar radioaktif rendah, namun tidak membincangkan soal sisa buangan radioaktif.

"Sekarang ini kita bercakap soal sisa buangan radioaktif bukan kadar radioaktif rendah... sepatutnya sisa itu tidak berada di Kawatan Perindustrian Gebeng. Saya cabar (Lynas) jika mereka kata sisa buangan radioaktif itu selamat, sila hantar ia balik ke Australia," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS