Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zuraida nafi mahu hapus sistem kuota hartanah bumiputera

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin hari ini menyangkal kajian semula sistem kuota perumahan bumiputera bertujuan menghapuskan sistem itu.

Sebaliknya kata beliau kajian semula itu melibatkan kajian keseluruhan kuota bagi penjualan hartanah bumiputera dan tidak tertakluk kepada perumahan mampu milik semata-mata dengan tujuan antaranya menangani lambakan rumah dan hartanah berstatus kuota bumiputera yang tidak terjual.

Katanya jumlah unit berstatus bumiputera yang tidak terjual di setiap negeri mencecah ratusan hingga ribuan unit dan masalah itu memerlukan penyelesaian pada kadar segera.

“Perkara ini bukanlah satu perkara yang baru, malah permasalahan ‘overhang unit’ (unit tidak terjual tetapi sudah siap dibina) turut diberikan perhatian serius oleh beberapa pihak kerajaan negeri yang menyaksikan hal ini sebagai satu trend yang amat membimbangkan,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu sebagai respons kepada sesetengah pihak yang menurutnya beranggapan kementerian tersebut mahu menghapuskan sistem kuota susulan cadangan kajian semula berkenaan.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata kajian itu akan meneliti kelemahan pelaksanaan sistem kuota termasuk faktor yang menyebabkan unit terbabit tidak mendapat sambutan.

"Bagi penyelesaian jangka pendek khusus untuk rumah-rumah yang telah siap dibina, mungkin perlu diwujudkan satu mekanisme pelepasan yang lebih efektif bagi memastikan rumah berstatus kuota bumiputera dilepaskan ke pasaran terbuka setelah memberi peluang yang cukup untuk golongan bumiputera memilikinya,” katanya.

Bagi penyelesaian jangka panjang, Zuraida berkata penelitian semula perlu dilakukan terhadap faktor yang menyebabkan kelemahan golongan bumiputera dalam memanfaatkan sistem kuota berkenaan.

“Satu pendekatan yang bersifat holistik harus diambil iaitu unsur-unsur seperti status kewangan, demografik, sikap dan mentaliti golongan bumiputera harus diambil kira dan diberi perhatian yang serius.

“Hasil dapatan kajian yang akan dilaksanakan ini diharap dapat menyelesaikan masalah ‘overhang unit’ daripada kuota bumiputera yang masih berlaku secara meluas sehingga sekarang.” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS