Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Ada pemandu teksi minta maaf pada saya
Diterbitkan:  Oct 13, 2018 4:43 PM
Dikemaskini: 8:51 AM

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa ramai pemandu teksi berasa terpedaya apabila perkhidmatan Uber dan Grab tidak diharamkan Pakatan Harapan (HARAPAN) seperti jangkaan mereka.

Malah kata Najib beliau sendiri ada berjumpa dengan pemandu teksi yang meminta maaf kepadanya kerana tersilap mempercayai "fitnah" dijaja musuh BN.

Kata Najib antara fitnah tersebut berlegar sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu dan mendakwa isteri beliau Rosmah Mansor adalah pemilik Uber dan Grab.

"Ramai pemandu teksi yakin bahawa kerajaan PH (HARAPAN) akan mengisytihar Uber dan Grab sebagai haram di Malaysia jika mereka menang.

"Sebab itu, mereka turut membantu berkempen bagi PH dan mencemuh kerajaan BN setiap kali mereka membawa penumpang," katanya.

Menurut Najib pertemuan beliau dengan pemandu teksi terbabit berlangsung selepas PRU ke-14.

"Ada antara mereka meminta maaf kepada saya kerana terperdaya dengan fitnah ini (Rosmah sebagai pemilik Uber dan Grab) kerana Uber dan Grab ini saingan kepada sumber rezeki mereka," katanya melalui hantaran di media sosial petang ini.

Tak ada beza dulu, sekarang

Najib yang gagal mendapat mandat daripada rakyat untuk membolehkan BN kekal menjadi kerajaan pada 9 Mei lalu berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Kementerian Kewangan yang sedang berbincang dengan Grab untuk menggantikan perkhidmatan bas perantara MRT dan LRT.

Najib berkata jika benar Rosmah benar-benar memiliki perniagaan Grab, tidak ada sebab mengapa HARAPAN mahu menggunakan perkhidmatan tersebut.

Beliau yang kini menjadi ketua Umno Pekan dan aktif di media sosial turut melahirkan kekesalan apabila usahanya bagi menjaga kebajikan pemandu teksi semasa masih menjadi perdana menteri akhirnya dihentikan.

"Rancangan kami ialah mengawal selia Uber dan Grab sambil memastikan kerajaan turut menyediakan lebih banyak bantuan kepada pemandu teksi agar mereka dapat turut bersaing secara sihat.

"Hari ini, ramai pemandu teksi menyesal kerana sedar mereka tertipu.

"Grab tidak diharamkan sebagaimana mereka harapkan, manakala bantuan khusus untuk pemandu teksi sebagaimana ketika pentadbiran saya turut dihentikan," tambahnya lagi.

Baru-baru ini Setiausaha Politik Menteri Kewangan Tony Pua mengumumkan kerajaan sedang berbincang dengan syarikat e-hailing tempatan, Grab, untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk pengguna berulang-alik dari rumah ke stesen MRT.

"Kenapa perlu menyediakan bas ulang-alik jika boleh bekerjasama dengan Grab?

"Mereka (Grab) boleh menyediakan perkhidmatan dari stesen MRT ke rumah pengguna pengangkutan awam pada harga yang berpatutan, dan pada harga yang lebih murah daripada yang ditawarkan kerajaan dengan menyediakan bas ulang alik," katanya.

Sementara itu, pengumuman Pua itu ditentang oleh syarikat Big Blue Taxi yang mendakwa ia sebagai tidak adil dan langkah terang-terangan kerajaan bagi mempromosikan Grab.

Penasihat syarikat itu, Datuk Shamsubahrin Ismail, berkata dengan pengumuman itu kerajaan HARAPAN seolah-olah mahu 'membunuh' pemandu teksi sedangkan ramai kalangan mereka menyokong HARAPAN pada PRU-14 yang lalu.

"Tak ada bezanya antara Nancy Shukri (bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri) dengan yang ada hari ini.

"(Dulu) Nancy mempromosikan Uber, kami membangkangnya. Sekarang, kerajaan baru pula sedang promosikan Grab. Apa ni?" soalnya.

Beliau turut berkata pihaknya akan menganjurkan demonstrasi bagi menuntut Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dipecat daripada jawatan mereka.

Lihat Komen
ADS