Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Anwar dinafi hak politik selama 20 tahun, akhirnya menang'

PRK PD | Kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson tidak boleh dilihat sebagai suatu 'kemenangan biasa', sebaliknya perlu dilihat sebagai kemenangan seseorang yang telah dinafikan hak politik selama 20 tahun.

Malah, menurut Senator Yusmadi Yusoff, usaha untuk menafikan hak Anwar masih wujud dan boleh dilihat pada PRK Port Dickson yang baru sahaja melabuhkan tirainya.

"Sehingga saat-saat akhir pun ada kelompok yang cuba menafikan Anwar dengan segala macam isu dan tohmahan yang mempunyai naratif yang sama sahaja dengan yang dulu.

"Sebab itu, PRK ini jangan hanya dilihat sebagai keputusan 14 hari kempen, sedangkan agenda menafikan Anwar ini sudah berjalan selama 20 tahun," katanya kepada Malaysiakini.

Anwar menang besar pada PRK Port Dickson yang berlangsung semalam selepas meraih 31,016 undi, dengan 23,560 undi majoriti ke atas pesaing terdekatnya, calon PAS Mohd Nazari Moktar yang sekadar memperoleh 7,456 undi.

Di tempat ketiga pula calon bebas yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Samad dengan 4,230 undi.

Kemenangan itu diraikan oleh ribuan penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) yang berkumpul di perkarangan bilik gerakan utama mereka di PD Waterfront, Port Dickson semalam.

Anwar dijangka akan mengangkat sumpah di Dewan Rakyat Isnin ini.

Anwar kalahkan 'Mahathir PD'

Kata Yusmadi lagi, kemenangan Anwar dalam PRK itu juga membuktikan bahawa rakyat masih lagi mempercayainya.

"Anwar bertanding dengan 'the Mahathir of Port Dickson', Isa Samad yang berkuasa selama 22 tahun.

"Sedangkan Port Dickson ini saya lihat lebih kurang sama dengan Balik Pulau, agak kedaerahan, yang mana kelebihan selalunya diberikan kepada orang tempatan.

"Bayangkan Anwar sebagai orang luar masih mampu mendapatkan keputusan yang sebegini baik," kata bekas anggota parlimen Balik Pulau itu.

Beliau turut berpendapat kemenangan Anwar semalam adalah satu kelangsungan daripada kejayaan 9 Mei lalu, di mana rakyat mahu melihat kombinasi Anwar dan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam membawa agenda perubahan yang rakyat mahukan.

Bagaimanapun, tambah Yusmadi (gambar), agenda perubahan adalah satu cabaran yang menuntut kesabaran yang besar.

"Setiap perubahan itu memerlukan kesabaran. Contohnya Anwar sering bercakap tentang masa depan kelompok terpinggir dan minoriti, itu ialah satu gagasan yang besar.

"Kalaulah dahulu Anwar beritahu bahawa saya perlu 'berlari' selama 20 tahun demi agenda reformasi, saya pasti tak sanggup. Terlalu lama," tambahnya.

Justeru, beliau berharap kelompok pencinta perubahan dapat memahami bahawa agenda perubahan sememangnya memerlukan ketabahan.

"Saya takut kawan-kawan saya tak sabar menunggu dan mahukan hasil segera. Kesabaran penyokong ialah satu-satunya cabaran yang harus didepani oleh Anwar, yang lain tak ada.

"Liberation is a tough job, quick fix is oxymoron (Kerja pembebasan ialah satu kerja sukar yang tiada istilah penyelesaian segera)," katanya lagi.

Anwar dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri pada 1998 dan dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun pada 1999 kerana didapati bersalah atas tuduhan penyalahgunaan kuasa.

Pada tahun 2000, beliau dijatuhkan hukuman penjara selama sembilan tahun kerana didapati bersalah atas tuduhan meliwat pemandunya, sebelum sabitan kesalahan itu digugurkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2004 dan beliau dibebaskan.

Bagaimanapun, beliau sekali lagi ditahan atas tuduhan meliwat pembantu peribadinya yang juga merupakan calon bebas PRK Port Dickson, Mohd Saiful Bukhari Azlan, namun diputuskan tidak bersalah pada tahun 2012 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau kembali ke parlimen sebagai ketua pembangkang setelah berjaya memenangi PRK Permatang Pauh pada tahun 2008.

Namun Anwar kembali dipenjara pada tahun 2014 apabila Mahkamah Rayuan menolak keputusan Mahkamah Tinggi menyebabkan sabitan liwatnya terhadap Saiful Bukhari dipertahankan.

Anwar akhirnya telah menerima pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dan dibebaskan dari penjara pada 16 Mei 2018, beberapa hari selepas kemenangan besar HARAPAN membentuk kerajaan baharu menewaskan BN buat pertama kali dalam sejarah.

Lihat Komen
ADS