Bekas pengarang eksekutif New Straits Times (NST) KP Waran meninggal dunia hari ini setelah bergelut dengan kanser selama sembilan bulan.
Perkara ini disahkan isterinya, Sheila Singam, melalui catatan dalam laman Facebook yang diiringi gambar mendiang dengan wajah tersenyum.
Dalam catatannya, Sheila menulis "So proud of you, my husband" (berbangga denganmu suamiku) dalam artikel tentang pemergian Waran, yang turut menyenaraikan pelbagai pencapaian penting wartawan veteran itu.
Menurut bekas majikannya, Waran, 60, berpengalaman lebih dua dekad dalam industri media dan berita serta pernah membuat liputan tentang konflik di merata dunia, termasuk Bosnia and Herzegovina, Sri Lanka, Timor Timur dan Kemboja.
Editor Kanan Bernama Jamaluddin Muhammad, yang membuat liputan bersama beliau semasa perang di Bosnia pada 1990-an, berkata Waran mempamerkan sikap yang patut diteladani ketika menghadapi keadaan rumit dan mencabar.
"Beliau membantu merancang perjalanan kami yang cukup berbahaya itu secara penuh teliti dengan bantuan penduduk tempatan, memberi tumpuan khusus terhadap perkara seperti sekatan jalan raya, kemungkinan berdepan dengan jerangkap samar dan sebagainya," kata beliau.
Jamal masih ingat bagaimana veteran media itu tidak tunduk kepada ugutan tentera Serbia yang mengadakan sekatan jalan raya apabila mereka memintanya menyerahkan gulung filem yang merakam kejadian berkaitan konflik itu.
"Beliau tidak gentar untuk mempertahankan pendiriannya ketika kami diancam anggota tentera Serbia yang lengkap bersenjata berhubung filem itu, walaupun kami sedang berdepan dengan keadaan hidup atau mati," kata Jamaluddin.
Waran, katanya, juga sentiasa memberi peringatan dan panduan tentang perkara yang patut dan tidak patut dilakukan semasa mereka bertugas di sana seperti keperluan untuk sentiasa berwaspada tentang keadaan di sekeliling serta keperluan untuk bergerak siku-sika di tempat yang dijangka wujud penembak hendap.
Jamaluddin berkata perkara yang beliau pelajari daripada Waran semasa di Bosnia itu dimanfaatkannya apabila dihantar bertugas membuat liputan semasa perang Iraq.
Semadilah dengan tenang
Sementara itu, beberapa rakan seperjuangan lain turut memberi penghormatan kepada Waran melalui media sosial.
"Bagi pihak The New Straits Times Press (NSTP), saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang KP Waran atas pemergiannya hari ini," kata
Mustapha Kamil Mohd Janor, anggota lembaga pengarah NSTP dan pengarah eksekutif operasi berita dan editorial Media Prima Bhd.
Menurut beliau, Waran menghabiskan sebahagian besar usianya dengan berkhidmat di bilik berita serta sebagai wartawan dan memberi sumbangan besar terhadap operasi akhbar itu.
Bekas wartawan NST Roziana Hamsawi pula menzahirkan kesedihannya tentang pemergian Waran.
"Anda adalah editor kegemaran saya di meja berita. Anda menjadikan tahun-tahun perkhidmatan saya di situ sungguh menggembirakan. Sentiasa memberi layanan baik terhadap berita yang saya tulis. Selalu bersikap tenang dalam menghadapi apa saja.
"Seronoknya bekerja dengan anda! Bersemadilah dengan tenang, bos!" tulis Roziana.
- Bernama
