Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bentang kertas putih kewangan negara sebelum belanjawan'
Diterbitkan:  Oct 15, 2018 9:50 AM
Dikemaskini: 6:06 AM

PAS menggesa Kementerian Kewangan membentangkan kertas putih di Parlimen berkenaan kedudukan sebenar kewangan kerajaan sebelum pembentangan Belanjawan 2019 yang dijadual 2 November ini.

Ketua Penerangannya Nasrudin Hassan berkata ia berikutan percanggahan dalam kenyataan beberapa pemimpin kerajaan berhubung perkara itu.

Beliau merujuk kenyataan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu bahawa hutang negara melebihi jumlah RM1 trilion seperti yang diumumkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebelum ini.

Menurut laporan Utusan 13 Oktober lalu, kerajaan tidak menyatakan kedudukan sebenar kerana bimbang Malaysia akan menjadi muflis seperti Greece.

Nasrudin menyifatkan kenyataan Mohamad itu sebagai amat serius kerana bertentangan dengan jawapan bertulis Lim di Parlimen pada 24 Julai lalu bahawa hutang kerajaan persekutuan setakat 31 Disember 2017 adalah berjumlah RM686.8 bilion.

"Jawapan itu selaras dengan laporan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2017 yang telah dibuat oleh Akauntan Negara Malaysia.

"Jika nilai sebenar hutang kerajaan persekutuan tidak benar dengan merujuk kenyataan Menteri Pertahanan, maka semua angka yang dilaporkan dalam penyata kewangan kerajaan dan jawapan menteri kewangan adalah palsu.

"Bagi menangani kecelaruan ini, Lim perlu mengemukakan satu kertas putih untuk menyatakan kewangan negara secara tepat bagi mengelakkan kenyataan pemimpin negara dimanipulasi. Perkara ini boleh memberi implikasi buruk kepada kestabilan ekonomi negara," katanya lagi.

Untuk rekod, Lim sebelum ini pernah menjelaskan bahawa angka RM686.8 bilion adalah hutang rasmi kerajaan persekutuan.

Dalam penjelasan itu, Lim berkata kerajaan juga memberi jaminan kepada pelbagai entiti dengan jumlah RM199.1 bilion dan pajakan untuk projek awam berjumlah RM201.4 bilion.

Jumlah ketiga-tiga tanggungan tersebut adalah RM1.087 trilion - seperti yang diumumkannya.

Sementara itu, Nasrudin juga mengulang gesaan agar Lim menjelaskan dakwaannya tentang penyusutan akaun hasil disatukan sebanyak 96 peratus - daripada RM11.86 bilion pada akhir 2017 kepada RM450 juta pada 30 April 2018.

"Penyusutan mendadak itu perlu diperincikan agar rakyat tahu apakah perbelanjaan yang telah dilakukan dan bagaimana kerajaan membiayai perbelanjaan mengurus dalam tempoh Mei hingga September 2018," katanya.

Lihat Komen
ADS