Paling Popular
Terkini

Jika perlu, kata PAS, parti itu akan mengadakan demonstrasi sebagai langkah menyuarakan penentangan mereka terhadap acara Oktorberfest.

Setiausaha agungnya Datuk Takiyuddin Hassan berkata langkah itu perlu diambil sekiranya PAS berpendapat Oktoberfest mengganggu ketenteraman orang Islam.

“Kalau festival Oktoberfest tu boleh menimbulkan rasa kurang menyenangkan dan menimbul ketegangan pihak tertentu, itu diperlu dibantah... mungkin sampai ke peringkat perlu demonstrasi dan kita demonstrasilah," katanya kepada media di lobi parlimen hari ini.

Takiyuddin yang juga anggota parlimen Kota Bharu berkata pada pandangan PAS pengambilan arak memang menjadi hak orang bukan Islam.

Namun katanya ia mestilah dalam keadaan terkawal, tertutup dan tidak mengganggu kepentingan orang lain.

"Kalau boleh dikawal, dalam keadaan apa pun boleh dibenarkan,” katanya.

Takiyuddin berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian PAS berkaitan Oktoberfest.

Kena jaga sensitiviti

Sebelum ini Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad memberi lampu hijau terhadap penganjuran Oktoberfest jika penganjur membuat permohonan bagi mendapatkan permit dan mematuhi semua garis panduan ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Khalid berkata antara garis panduan yang perlu dipatuhi penganjur ialah orang Islam tidak dibenarkan terlibat dan ia dijalankan di tempat tertutup.

Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pihaknya menentang penganjuran Oktoberfest bagi menjaga sensitiviti orang Islam.

“Itu kita protes, kita tentang. Mesti hormati sensitiviti orang Islam yang merupakan majoriti di Malaysia dan pada masa sama kita hormati agama lain tapi kena jaga sensitiviti,” katanya yang hadir kira-kira 30 minit di parlimen hari ini.

Anggota parlimen Marang itu berkata, sekiranya kerajaan menggariskan peraturan berkaitan acara itu, ia juga perlu dipantau bagi memastikan ia dilaksanakan dengan telus.

“Perlu dilihat perkara itu, peraturan bocor atau tidak,” katanya.

Pesta Octoberfest bermula sejak abad ke-19 lagi walaupun di Malaysia ia hanya diadakan sejak 2014.

Lihat Komen
ADS