Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AADK mahu hukuman setimpal kesalahan dadah
Diterbitkan:  Oct 15, 2018 10:38 PM
Dikemaskini: 2:41 PM

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mahu kerajaan memperkenalkan hukuman setimpal bagi kesalahan berkaitan dadah sekiranya hukuman mati dimansuhkan.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata hukuman sedemikian perlu sebagai satu bentuk pencegahan kepada masyarakat.

“… hukuman tertentu perlu ada sebagai alat untuk menyedarkan orang ramai supaya tidak melakukan kesalahan (khususnya pengedaran dadah) atau mereka harus menanggung risiko atas kesalahan yang dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas Simposium Pemerkasaan Integriti di ibu pejabat AADK di Bangi hari ini.

Beliau mengulas cadangan kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati dan menggantikannya dengan penjara seumur hidup.

Pada masa ini, hukuman mati mandatori diperuntukkan antaranya untuk kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

1,267 banduan berdepan hukuman mati

Pada 7 Oktober lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong memaklumkan kajian untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini berada pada peringkat akhir sebelum dibentangkan kepada jemaah menteri.

Semalam, media melaporkan pada masa ini terdapat 1,267 banduan berdepan hukuman mati menurut Seksyen 39B ADB 1952 tetapi hukuman itu tidak dilaksanakan sejak 2014.

Mengulas perkembangan berkaitan, Zulkifli berkata bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini terdapat 3,971 penagih berulang dilaporkan berbanding 7,482 orang tahun lepas.

Bilangan itu masih tinggi, katanya yang meminta masyarakat mengubah stigma terhadap bekas penagih.

"Satu daripada faktor mereka kembali menagih adalah kerana mereka tidak diterima masyarakat," katanya.

Pada masa sama, beliau turut meminta kerajaan memberi galakan kepada majikan untuk menggaji bekas penagih dan AADK bersedia membantu dengan menempatkan pegawai bagi memantau proses pemulihan bekas penagih di premis majikan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS