Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib, anak Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud perlu membayar mutaah sebanyak RM30 juta yang dituntut bekas isterinya, Shahnaz A Majid.
Keputusan Hakim Saarani Ismail itu sebagai mempertahankan penghakiman yang dibuat Mahkamah Tinggi Syariah sebelum ini.
Shahnaz, kakak kepada ratu jazz Datuk Sheila Majid, sebelum ini menuntut bayaran sejumlah RM100 juta daripada bekas suaminya.
Pada 10 Mac lalu, hakim mengarahkan bayaran RM30 juta dibuat secara ansuran sebanyak tiga kali, setiap satunya berjumlah RM10 juta.
Perbicaraan ini merupakan kes bayaran mutaah paling besar dalam sejarah.
Hakim Saarani dan Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar yang bersidang bersama membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Mahmud Abu Bekir, 55, dan rayuan silang oleh Shahnaz, 55.
Dalam penghakimannya, panel tersebut berpendapat Hakim Mahkamah Tinggi Syariah tidak salah arah mahupun terkhilaf dalam keputusan pada 10 Mac 2016, yang memerintahkan Mahmud Abu Bekir, membayar mutaah RM30 juta terhadap Shahnaz.
“Berdasar penelitian, kami mendapati bahawa hakim bicara berada dalam kedudukan terbaik dalam membuat dapatan, tidak ada kekhilafan. Mahkamah dengan ini menolak rayuan dari kedua-dua belah pihak, (Mahmud Abu Bekir dan Shahnaz) dan mahkamah berpendapat, keputusan untuk membayar RM30 juta adalah betul dari segi prinsip, undang-undang dan hukum syarak, oleh itu keputusan itu dikekalkan,” kata Hakim Syarie Saarani.
Sebelum ini rayuan itu didengar di hadapan panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Syarie Datuk Yusof Musa. Bagaimanapun hanya Hakim Saarani dan Dr Mohd Naim yang bersidang kerana Hakim Yusof telah bersara.
Mahmud Abu Bekir merayu untuk mengurangkan jumlah mutaah yang diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah pada 10 Mac 2016 manakala Shahnaz dalam rayuan silangnya memohon jumlah RM30 juta ditambah kepada RM100 juta.
Mahmud Abu Bekir dan Shahnaz, bernikah pada 9 Januari 1992, dikurniakan seorang anak lelaki, Raden Murya, 25, namun pada pada 11 Mei 2011 mereka bercerai dengan talak satu.
Pada 9 Jun 2011, Shahnaz yang merupakan kakak kepada ratu jazz negara Datuk Sheila Majid memfailkan tuntutan mutaah sebanyak RM100 juta daripada bekas suaminya itu.
Bagaimanapun, pada 10 Mac 2016, Mahkamah Tinggi Syariah memerintahkan Mahmud Abu Bekir membayar mutaah RM30 juta selepas memutuskan bahawa Shahnaz, berhak menerima tuntutan (RM30 juta) selain mengambil kira kesedihan akibat diabaikan lebih 10 tahun oleh Mahmud Abu Bekir.
Jumlah RM30 juta yang diputuskan oleh mahkamah itu difahamkan adalah jumlah yang tertinggi dalam kes tuntutan mutaah setakat ini.
Mahmud Abu Bekir kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan tiga hari selepas itu namun pada 21 Mac 2016, Shahnaz yang tidak berpuas hati dengan jumlah RM30 juta juga memfailkan rayuan silang.
Pada 30 Mac 2016 Mahkamah Tinggi Syariah membenarkan Mahmud Abu Bekir menangguhkan pelaksanaan perintah pembayaran mutaah tersebut.
Mahmud Abu Bekir diwakili peguam syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar manakala Shahnaz diwakili peguam syarie, Datuk Akberdin Kadir dan Dr Mohd Rafie Shafie.
