Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Susulan laporan Malaysiakini berkenaan dakwaan wujudnya tapak warisan di sekitar projek pusat pelupusan sampah di Bukit Payong, Johor, ketua pengarah (pesuruhjaya) Jabatan Warisan Negara (JWN) Datuk Dr Zainah Ibrahim berkata siasatan akan dilakukan bersama Yayasan Warisan Johor (YWJ).

Beliau berkata pihaknya akan menghantar pasukan untuk menyiasat sama ada memang wujud tapak warisan berkenaan atau sebaliknya.

“Jika perlu, kita akan adakan survey dan mungkin ekskavasi di situ, supaya kita dapat mengetahui signifikan warisan di situ.

“Jika orang ramai peka dan maklumkan kepada kita dengan segera, kita pun boleh segera melakukan penyiasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Malaysiakini ketika ditemui di Majlis Perisytiharan Warisan Kebangsaan 2018 di Kuala Lumpur.

Pada 10 Oktober lalu Malaysiakini melaporkan dakwaan pengkaji sejarah dan aktivis masyarakat Mohd Azlan Mohd Sharif bahawa terdapat penemuan sejarah di sekitar kawasan Bukit Payong.

Mohd Azlan mendakwa di bahagain timur tapak projek itu ialah Bukit Belah di mana pernah ditemukan himpunan fosil tumbuhan pada awal 2000, yang dianggar berusia jutaan tahun.

"Di utara tapak projek itu adalah kawasan pemakaman Bukit Inas di mana pernah ditemukan lapan batu Aceh berusia di antara 500 hingga 600 tahun di situ.

“Penemuan batu ini ada direkodkan di dalam buku Batu Aceh Warisan Sejarah Johor terbitan YWJ sendiri pada tahun 1999,” katanya dalam satu tulisan kepada Malaysiakini.

Sementara itu, mengulas isu yang sama, pengarah arkeologi JWN Ruzairy Arbi berkata, jabatan itu mempunyai jawatankuasanya sendiri yang boleh memberikan pandangan terhadap isu itu.

“Berhubung penemuan fosil itu, kita perlu lihat kepentingan fosil itu dan untuk itu kita ada jawatankuasa pakar arkeologi dan juga geologi yang boleh memberikan pandangan dalam menilai fosil tersebut," katanya.

Mengenai batu Aceh di Johor pula, ulasnya, JWN selalunya akan berhubung dengan YWJ yang banyak membantu dalam mengenal pasti tapak-tapak warisan di negeri itu.

“Selalunya di peringkat negeri (YWJ) akan kaji dulu, lihat kepentingannya terlebih dahulu. Hal itu tertakluk atas kajian dan kelulusan di peringkat negeri.

“Setelah diluluskan, kita akan bawa ke jawatankuasa pakar pula untuk menentukan sama ada tahap tapak itu tergolong dalam kategori warisan atau warisan kebangsaan," katanya lagi.

Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Payong sudah beberapa kali tertangguh berikutan bantahan penduduk yang bimbang faktor pencemaran bau dan air serta jalan yang bakal digunakan lori pengangkut sampah dengan kerap.

Status terkini projek tersebut kini ditangguhkan.

Lihat Komen
ADS