Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jambatan bengkok: Masyarakat beri pelbagai reaksi

Cadangan membina semula jambatan bengkok, yang pernah diilhamkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini, menerima pelbagai reaksi dari berbagai pihak termasuk rakyat dan bekas pemimpin di negeri ini.

Bagi sebilangan besar rakyat Johor, dengan adanya jambatan bengkok itu, ia boleh menjadi jawapan kepada masalah kesesakan di Tambak Johor yang telah membelenggu rakyat negeri ini terutamanya mereka yang saban hari mencari rezeki menyeberangi tambak berkenaan.

Seorang pekerja swasta, Khairul Anuar berkata dengan adanya jambatan bengkok, ia boleh membantu kelestarian hidup rakyat negeri Johor terutama mereka yang bekerja ulang alik dari Johor ke Singapura.

“Ia (Jambatan bengkok) dapat meningkatkan tahap ekonomi rakyat Johor dengan memacu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan industri makanan, misalnya. Sebagai rakyat negeri ini, ia harus disegerakan secepat mungkin,” katanya ketika ditemui di bandar raya ini.

Turut menyokong ialah Zainal Abidin Mohd, 66, yang menyifatkan adanya jambatan bengkok boleh memudahkan laluan jalan raya selain mengurangkan kesesakan saban hari di tambak berkenaan.

Bagaimanapun, Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tiong Hua Negeri Johor Low Kueck Shin tidak bersetuju cadangan itu dilaksanakan memandangkan projek tersebut dijangka menelan belanja yang besar.

Dalam satu temu bual di pejabatnya semalam, beliau sebaliknya berkata kerajaan harus mempercepatkan pembinaan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) dalam usaha mengurangkan kesesakan Tambak Johor selain memberi alternatif kepada pengguna pengangkutan awam.

“Kalau ada wang, lebih baik kita buat jambatan baru di Pasir Gudang atau tempat yang sesuai. Sekarang lebih ramai orang guna Tambak Johor berbanding Linkedua jadi kita mahu kalau boleh buat satu lagi jambatan yang sesuai untuk memudahkan orang ramai guna,” kata Low.

Sementara itu, bagi Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ), jambatan bengkok bagi menggantikan Tambak Johor bukanlah satu keutamaan yang perlu disegerakan, apatahlagi ia perlu mengambil kira kepentingan rakyat secara keseluruhannya.

“Cadangan pembinaan semula jambatan bengkok ini perlu mengambil kira semua sudut pandangan yang konklusif, keperluan undang undang, kesejahteraan rakyat serta menjaga hubungan baik dengan Singapura,” kata Presidennya Salleheen Mohamad, dalam satu kenyataan.

Pihaknya dalam masa yang sama mencadangkan agar satu laluan melalui air di Selat Tebrau dilaksanakan bagi mengurangkan kesesakan di Tambak Johor dan Laluan Linkedua di Tanjung Pelepas.

“Cadangan keluar masuk sama ada melalui Stulang-Sembawang atau Pasir Gudang Changi boleh dilaksanakan melalui feri atau kapal kerana kemudahan yang telah tersiap sedia di samping imigresen, kastam dan kesihatan,” tambah Salleheen.

Dalam kenyataan berasingan, Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata adalah memeranjatkan untuk sebuah projek mega pada skala yang sangat besar itu mahu dihidupkan semula sedangkan matlamat kerajaan kini adalah untuk menguruskan struktur fiskal negara dengan lebih baik terlebih dahulu.

Bekas menteri besar Johor itu berkata sekiranya perbincangan berkenaan pembinaan jambatan bengkok tersebut diteruskan, kerajaan Johor perlu melakukan satu analisa kos faedah kewangan ke atas kesesuaian untuk menghidupkan semula projek berkenaan.

“Kajian sedemikian juga mesti mempertimbangkan kesan ke atas kedaulatan negara kita memandangkan kita boleh menjangkakan bahawa Singapura akan menuntut satu timbal balik yang lebih besar susulan pelaksanaan semula jambatan ini, yang sudah pastinya akan memberi kesan yang jauh lebih kritikal kepada kedaulatan negara kita,” kata beliau.

Mohamed Khaled berkata tumpuan seharusnya kepada pelebaran lebuh raya, pertambahan sekolah dan hospital besar serta inisiatif berfokus yang dapat membantu melindungi dan merancak masa depan komoditi sawit di Johor atau menyediakan jaringan keselamatan dan kebajikan sosial yang lebih pelbagai.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS