Paling Popular
Terkini
story images
story images

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mengambil kesempatan daripada prosiding mahkamahnya untuk menjelaskan dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.

Bercakap kepada pemberita di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini, bekas timbalan perdana menteri itu berkata beliau reda dengan 45 pertuduhan yang dilemparkan terhadapnya di Mahkamah Sesyen hari ini sebagai ujian daripada Allah.

"Alhamdulillah saya amat reda dengan pertuduhan yang telah dibaling (dihadapkan) pada saya dan atas keredaan ini adalah untuk menetukan bahawa segala apa yang saya terima adalah suatu ujian daripada Allah taala kepada segala usaha yang telah saya lakukan dan sedang lakukan.

“Saya akan menggunakan mahkamah sebagai tempat yang terbaik bukan hanya untuk lakukan pembelaan terhadap semua pertuduhan berkenaan tapi untuk menjelaskan perkara-perkara yang termasuk dalam pertuduhan berkenaan.

“Saya akan buktikan bahawa apa yang telah saya lakukan dengan pembinaan beberapa peremis untuk syumuliyah (kesempurnaan) Islam untuk bina maahad tahfiz, masjid, surau, rumah anak yatim dan juga untuk kebaikan lain-lain agama,” katanya.

Ahmad Zahid, 65, hari ini mengaku tidak bersalah dan mohon bicara di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas 45 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Selain itu, Ahmad Zahid juga mengambil kesempatan berjumpa dengan ratusan penyokongnya yang telah menunggu lama sejak 7 pagi tadi.

Katanya, beliau akan membuktikan bahawa niat baiknya melakukankan kerja amal telah dianggap sebagai melanggar perundangan.

“Ini bagaimanapun bukan tempat terbaik untuk saya menjelaskan perkara ini, tetapi di mahkamah nanti saya akan perjelaskan,” katanya.

Turut hadir adalah isteri kepada bekas menteri dalam negeri itu, iaitu Datin Seri Hamidah Khamis dan anak mereka Datuk Nurulhidayah.

Ahmad Zahid kemudian meninggalkan perkarangan mahkamah pada kira-kira jam 1.15 petang menaiki kenderaan Toyota Land Cruiser.

Ahmad Zahid ditahan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya pada 3.15 petang semalam berhubung siasatan kes salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Beliau menghadapi 45 pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membenarkan dia diikat jamin RM2 juta bagi kesemua pertuduhan itu.

Lihat Komen
ADS